Home Dunia Lebih sejuta orang dipindahkan selepas timur China dibadai Taufan Lekima

Lebih sejuta orang dipindahkan selepas timur China dibadai Taufan Lekima

Lebih sejuta orang dipindahkan sebelum Taufan Lekima melakukan pendaratan pada pukul 1.45 pagi Sabtu di Bandar Wenling di timur Wilayah Zhejiang, China, lapor agensi berita Xinhua.
BEIJING – Lebih sejuta orang dipindahkan sebelum Taufan Lekima melakukan pendaratan pada pukul 1.45 pagi Sabtu di Bandar Wenling di timur Wilayah Zhejiang, China, lapor agensi berita Xinhua.

Dengan angin kencang dengan kelajuan maksimum 187 kilometer sejam, taufan super itu, yang kesembilan tahun ini, dijangka membawa hujan lebat ke wilayah-wilayah Anhui, Fujian, Jiangsu dan Zhejiang serta perbandaran Shanghai.

Pada tengah hari Jumaat, Zhejiang meningkatkan amaran respons kecemasannya ke tahap paling tinggi. Lebih 700,000 orang dipindahkan dengan lebih 110,000 ditempatkan di 12,000 pusat perlindungan.

Wilayah itu telah menutup perkhidmatan beratus-ratus feri, membatalkan 288 penerbangan serta menangguhkan beberapa bahagian landasan kereta apinya.

Pihak berkuasa tempatan telah mengumpulkan pasukan penyelamat dengan hampir 1,000 anggota, 150 kereta bomba dan 153 bot untuk diletak dalam keadaan bersiap sedia.

Setakat pagi Sabtu, 253,000 orang di Shanghai telah dipindahkan dengan sebahagian perkhidmatan transit rel bandar termasuk kereta api maglev telah digantung buat sementara waktu.

Taufan itu menumbangkan hampir 3,000 pokok dan merosakkan 100 talian kuasa dengan 80 daripadanya telah diperbaiki setakat ini.

Shanghai telah terjejas akibat hujan ribut yang lebat sejak Jumaat petang, menurut jabatan kawalan banjir perbandaran itu.

Lekima dijangka bergerak pada kelajuan kira-kira 15 kilometer sejam ke utara dan barat dengan bantuan angin.

— BERNAMA