KUALA LUMPUR – VentureTECH yang sebelum ini dikenali sebagai A-Bio Sdn Bhd hanya memiliki pegangan 10 peratus dalam DreamEDGE sejak awal tahun 2017 dan tidak pernah dilantik sebagai wakil lembaga pengarah.
Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan sehubungan itu menyifatkan dakwaan Datuk Seri Wee Ka Siong semalam kononnya VentureTECH pemegang saham terbesar syarikat DreamEDGE adalah tidak benar sama sekali.
Katanya, kenyataan Presiden MCA yang dimuatnaik di laman Facebook semalam juga mengelirukan pembaca dan rakyat Malaysia.
“DreamEDGE adalah syarikat 100 peratus bumiputera di mana saya merupakan pemegang saham terbesar,” kata Khairil dalam satu kenyataan di sini.
Semalam Ka Siong melahirkan rasa skeptikal dengan dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa projek kereta nasional ketiga hanya menggunakan wang daripada syarikat sahaja.
Ini kerana, katanya, projek kereta nasional ketiga dianugerahkan kepada syarikat DreamEDGE Sdn Bhd.
Syarikat Venturetech Sdn Bhd pula adalah pemegang saham terbesar syarikat DreamEDGE.
Syarikat Venturetech pula adalah 100 peratus milik Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), kata Presiden MCA itu.
Mengulas lanjut, Khairil berkata, sejak 2016, DreamEDGE sebagai syarikat penerima pelaburan yang berpotensi telah melalui proses due diligence dan melepasi semua kriteria yang ditetapkan oleh VentureTECH sebagai pelabur.
Katanya, syarikat tersebut juga telah memperolehi dana dari pelabur swasta untuk membangunkan kereta nasional ketiga.
“Kami juga telah memperoleh teknologi untuk pembuatan kereta nasional baharu.
“150 rakyat Malaysia yang menjayakan DreamEDGE mempunyai kerja yang besar untuk dilaksanakan. Tolong jangan musnahkan kerja keras kami dengan mempolitikkan isu ini berasaskan maklumat yang tidak tepat,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan