Home Seni Hidup Aktiviti kacau dodol elak kemahiran tradisional hilang ditelan zaman

Aktiviti kacau dodol elak kemahiran tradisional hilang ditelan zaman

KUALA LUMPUR – Budaya dan adat resam turun temurun selain aktiviti kemasyarakatan serta keagamaan kepercayaan masing-masing tidak patut dilupakan meskipun ia ditelan zaman pada era teknologi pintar yang semakin menguasai masyarakat.

Ia termasuk aktiviti mengacau dodol sewaktu musim perayaan yang semakin dilupakan dan tidak lagi meriah seperti dahulu ekoran tiada kemahiran, kurang pengetahuan selain tiada generasi pelapis.

Bimbang tradisi menyediakan dodol yang cukup sinonim dengan orang Melayu setiap kali musim perayaan Aidiladha dan Aidilfitri dilupakan begitu sahaja, seorang Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Majlis Daerah Kuala Langat tampil menganjurkan program memasak kuih tradisi tersebut hari ini.

Norhaninawati Mohd. Yusof, Ahli Majlis MPP Zon 3 Majlis Daerah Kuala Langat mengambil inisiatif melaksanakan program ‘Jom kacau dodol makanan warisan Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang 2019’.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor; Penyelaras DUN Sijangkang; MPP Zon 4 dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Panglima Garang.

Majlis yang berlangsung hari ini dari pukul 2 petang hingga 9 malam itu diadakan di Balai Penghulu Telok Panglima Garang, Selangor.

“Program ini mendapat kerjasama Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Rashid Asari, Penyelaras DUN Sijangkang, Rosnizan Ahmad, MPP Zon 4 Siti Nor Eaini Nasuka dan Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Panglima Garang.

“Kita memerlukan kemahiran ‘orang lama’ yang masih lagi mahir dan berbisa dalam membuat dodol berbanding generasi muda dan oleh itu, program ini sedikit sebanyak dapat mengajar mereka teknik untuk membuat dodol yang sedap.

“Dengan kesedaran ini, maka tercetuslah idea pihak berkuasa tempatan MPP Zon 3 untuk menganjurkan program yang sedikit sebanyak dapat menghidupkan semula tradisi makanan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, makanan warisan seperti dodol harus dikekalkan dengan penambahan usaha memberi tunjuk ajar, pengalaman serta pengetahuan asal usul makanan tradisi itu.

Tambahnya, ia termasuk cara pembuatan secara tradisional yang seringkali disediakan khusus semasa menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

“Hakikatnya, budaya makanan orang Melayu menjadi pilihan apabila setiap kali tiba musim perayaan dan dodol yang terkenal di Melaka dan Johor ini adalah di antara manisan yang menjadi pilihan semasa perayaan.

“Kami berharap, program ini akan menjadi satu acara tahunan setiap kali tiba perayaan Hari Raya Aidiladha,” ujarnya. – MalaysiaGazette