Home Laporan Haji 2019 Membaling ‘kesyaitanan’ dalam diri

Membaling ‘kesyaitanan’ dalam diri

Suasana Jamratul Aqabah yang sentiasa dipenuhi jemaah haji membaling batu di Mina hari ini.

MINA – Hari ini selesailah jemaah haji membaling batu di Jamratul Aqabah dan menunaikan tawaf haji di Kaabah sebagai rukun haji.

Ia membolehkan mereka bertahalul – bergunting atau membotakkan kepala seterusnya bebas daripada larangan ihram.

Jamratul Aqabah merupakan jamratul paling besar selepas Jamratul Wusto dan Jamratul Kubro.

Sebelum itu, jemaah mengutip batu di Mudzalifah mengikut sunnah perjalanan haji Nabi Muhammad SAW.

Ribuan jemaah haji berasak-asak ketika waktu ke Jamratul Aqabah sejak pagi dengan cuaca panas.

Membaling batu kecil ke Jamrah seolah-olah membaling iblis dan syaitan bukan bermakna kedua-duanya ‘diikat’ di tembok batu itu.

WhatsApp Image 2019-08-11 at 23.01.00
Salah seorang jemaah haji bercukur selepas membaling di Jamratul Aqabah di Mina hari ini.

Ia merupakan perlambangan kepada jemaah haji ‘membuang’ sifat-sifat kesyaitanan dalam diri selepas proses penyucian rohani pada ritual lain.

Selepas membaling di Jamratul Aqabah, ramai jemaah mengambil peluang bertahalul dengan bercukur di tepi-tepi jalan dan ada melakukannya di kedai gunting dan melakukannya sendiri.

Walaupun hiruk-pikul jutaan jemaah yang datang dari kem-kem di Mina dan melalui tren, namun prosesnya tetap berjalan lancar.

Esok dan lusa jemaah haji akan membaling lagi di ketiga-tiga Jamratul sebelum melakukan tawaf Wada di Masjidil Haram.-MalaysiaGazette