Home Nasional Selepas khat, kini Lynas pula ancam kedudukan DAP

Selepas khat, kini Lynas pula ancam kedudukan DAP

KUALA LUMPUR – Belum lagi habis tempias isu pengenalan tulisan khat yang menyebabkan segelintir penyokong tegar DAP berang, kini satu lagi konflik berkaitan operasi Lynas Corporation Ltd. (Lynas) memeningkan parti itu.

Portal The Malaysian Insight melaporkan, salah seorang pemimpin DAP di Pahang yang enggan namanya dipetik mendedahkan, kepimpinan tertinggi itu di jangka mengadakan satu mesyuarat bagi membincangkan isu kilang memproses nadir bumi itu.

Perjumpaan itu akan di adakan sebelum mesyuarat Kabinet pada Rabu ini.

Pastinya ia juga satu tamparan kepada parti itu, apatah lagi sebelum ini DAP merupakan parti paling lantang menentang operasi Lynas.

Malah, Lynas menjadi salah satu janji penting mereka DAP sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dahulu.

Kini ramai tertanya-tanya dengan pusingan ‘U’ yang telah dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila membenarkan kilang di Gebeng, Pahang itu terus beroperasi.

 

Lynas Malaysia wajar dib.eri peluang untuk mempertahankan rekod pengawalseliaan serta persekitarannya secara terbuka sejak ia mula beroperasi pada 2012. - MABC

Bagaimanapun, baru-baru ini PH telah berubah nada, selain DAP, pimpinan PKR juga berkeras menentang operasi Lynas dan mahu Lynas memulangkan semula bahan buangan kimia ke Australia jika mahu terus berada di Malaysia.

Dakwa pimpinan-pimpinan ini, sisa-sisa radioaktif dari pusat penapisan itu boleh menjejaskan air bawah tanah di Pahang.

Tuntutan itu tidak menemui jalan keluar apabila kerajaan Australia sendiri enggan menerima 450,000 tan sisa buangan kimia yang terkumpul di pusat penapisan Lynas di Malaysia.

Pengurus Besar Keselamatan Radiasi Lynas Malaysia, Prof. Dr Ismail Bahari pada 25 Mac lepas pula berkata, tiada lagi asas terhadap dakwaan yang mengatakan loji itu boleh menyebabkan pencemaran sisa kimia.

Sumber kerajaan pula mendedahkan Kabinet akan memutuskan sama ada ia akan memperbaharui lesen operasi Lynas lusa ini, sejurus selepas mesyuarat.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin juga berkata, kerajaan akan mengumumkan keputusannya mengenai Lynas pada 15 Ogos depan.

Sebelum ini juga, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai tidak hairan apabila ramai penentang Lynas sebelum ini menyokong pula operasi kilang tersebut.

Dominic berkata, perkara itu termasuklah apabila penentang utama kilang Lynas sebelum ini iaitu, Fuziah Salleh (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Wong Tack (Ahli Parlimen Bentong) kini mengakui pula kilang Lynas itu selamat, malah tidak menjejaskan penduduk di kawasan terlibat.

Lebih-lebih lagi, kata beliau, selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui bahawa kilang Lynas merupakan aset berharga kerana mempunyai pelaburan yang besar.

Menurut Dominic, pusingan-pusingan U yang dilakukan kepemimpinan PH itu sekali gus menolak dakwaan dibuat mereka sebelum ini bahawa operasi kilang Lynas membahayakan penduduk.

“Pelaksanaannya memproses nadir bumi mendapat kecaman hebat sejak pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi. Hari ini ianya dilihat kembali diterima pula di mata pemimpin PH. Apa sebenarnya pendirian mereka,” soalnya. –MalaysiaGazette