SELAYANG – Meriahnya Aidiladha etnik Rohingya di negara ini apabila dapat melakukan ibadah korban meskipun berada jauh daripada tanah air.
Sebanyak 100 ekor lembu dan kambing dikorbankan hari ini di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.
Memulakan sambutan hari raya korban dengan solat berjemaah di kawasan lapang di hadapan pasar borong, etnik Rohingya yang mencari rezeki di Malaysia kemudiannya bergotong royong melakukan ibadah korban.
Menurut salah seorang penduduk di kawasan itu Mohd Johari Said Hamid, 37, hampir 20,000 penduduk di situ setiap tahun di bulan Zulhijjah akan bertungkus lumus melapah kemudian golongan wanita akan bekerjasama memasak daging.
Ada juga bahagian lembu korban yang akan diagih kepada saudara muslim yang memerlukan di kawasan berdekatan.
“Siapa ada kemampuan kewangan memang menunaikan korban ini, tiap tahun ada yang buat korban lembu. Sebelum in di pasar borong Selayang yang lama pun sudah buat korban. Kemudian pindah sini kami teruskan juga.
“Masak di atas rumah kedai sahaja, saling bekerjasama, ada juga yang buat khemah untuk sama-sama masak dan makan bersama-sama,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika tinjauan.
Kesemua etnik itu, kata Johari menabung wang pendapatan mereka agar berkemampuan untuk melakukan ibadat korban setiap tahun.
Sejurus selepas solat sunat Aidiladha pagi tadi, proses penyembelihan dilakukan, turut kelihatan turun padang membuat pemantauan anggota Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor.
Seluruh sudut kawasan rumah kedai di situ digunakan untuk proses penyembelihan dan melapah.
Johari yang tinggal di Selayang lebih lima tahun itu terharu kerana seluruh etnik Rohingya Malaysia dibenarkan menjalankan ibadah korban tidak seperti tanah air sendiri yang menafikan hak mereka.
“Ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia benarkan kami buat ibdadah korban di sini dengan sempurna
“Alhamdulillah apa yang kami ada sekarang kami rasa sempurna, kalau di Myanmar kami tak dapat buat di sini kami dapat peluang,” tambahnya. -MalaysiaGazette