HONG KONG – Syarikat penerbangan Cathay Pacific memberi amaran akan memecat serta merta kakitangan mereka yang didapati menyokong atau menyertai protes haram di Hong Kong.
Amaran itu dihantar kepada setiap kakitangan syarikat itu menerusi e-mel oleh Ketua Eksekutifnya Rupert Hogg pada hari ini.
Pada Jumaat lalu, China mengarahkan syarikat itu menggantung pekerjanya yang dikesan menyokong protes pro-demokrasi di wilayah itu.
Semalam Cathay memecat dua kakitangannya dan menggantung seorang juruterbang yang didapati telah menyokong protes atas arahan kerajaan China.
CathayPacific kini dalam kedudukan kritikal berikutan protes dan demontrasi yang berterusan tanpa penyelesaian muktamad.
Rusuhan besar-besaran oleh rakyat itu mencetuskan kemarahan Beijing.
E-mel dari Hogg yang dilihat oleh agensi BBC News berbunyi:” Kumpulan Cathay Pacific mengambil pendekatan tolak ansur sifar terhadap sebarang aktiviti haram seperti ini.
“Khususnya dalam konteks situasi semasa di Hong Kong, akan ada kesan dan tindakan disiplin terhadap pekerja yang didapati menyokong atau menyertai protes haram itu.
“Kesan ini boleh menjadi lebih serius dan mungkin boleh ditamatkan pekerjaan sekiranya terbukti terlibat,” kata Hogg.
Saham Cathay Pasific yang berpengkalan di Hong Kong itu jatuh lebih 4 peratus pada Isnin hari ini sekaligus mendesak pasarannya ditutup tahap terendah dalam 10 tahun lalu. – MalaysiaGazette