
NEW YORK- Goldman Sachs Group Inc. menjangkakan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi akibat perang perdagangan Amerika Syarikat-China semakin meningkat.
Di samping itu, Goldman juga meramalkan perjanjian perdagangan di antara dua gergasi ekonomi dua itu tidak akan dimeterai sebelum pilihan raya presiden 2020.
“Kami menjangkakan baki tarif import sebanyak AS$300 bilion akan dilaksanakan (tidak lama lagi),” kata bank tersebut dalam satu nota kepada pelanggan.
Pada 1 Ogos lalu, Presiden Donald Trump mengumumkan beliau akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import China bernilai AS$300 bilion pada 1 September, menyebabkan China menggantung pembelian mereka terhadap produk-produk pertanian AS.
AS turut mengisytiharkan China sebagai pemanipulasi mata wang bagaimanapun perkara tersebut dinafikan oleh China.
Menurut Goldman Sachs, ia telah menurunkan unjuran pertumbuhan suku keempat AS sebanyak 20 mata peratusan kepada 1.8 peratus.
“Secara keseluruhan, kami telah meningkatkan anggaran kesan pertumbuhan daripada perang perdagangan tersebut,” kata bank tersebut.
Peningkatan kos input akibat gangguan rantaian bekalan mungkin memaksa syarikat-syarikat AS mengurangkan aktiviti domestik mereka, tambahnya.
Ini kerana sebarang “ketidaktentuan polisi” mungkin akan mendorong syarikat-syarikat untuk mengurangkan perbelanjaan modal.-Agensi