KUALA LUMPUR – Hanya setelah hampir selesai konflik berhubung pengenalan tulisan khat dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) khasnya DAP dikritik hebat, barulah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy membuka mulut.
Apa yang peliknya, menurut Timbalan Ketua Pemuda MIC Bahagian Selayang, Prasad Sandrasegran, Waytha yang juga Menteri Perpaduan selain daripada kononnya ‘pejuang’ masyarakat India hanya bertindak menyuarakan pandangannya apabila isu sudah selesai.
“Memang pelik, bila semua sudah reda barulah kita nampak ada pemimpin India bangkit bercakap bagi kita. Sebelum ini, mana pergi menteri-menteri ini? Saya pun hairan.
“Bukankah dari awal lagi beliau patutnya sudah buka mulut seperti pemimpin Cina khasnya dalam DAP? Walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan sehingga memaksa ada pimpinan yang buat ‘pusingan U’ namun sekurang-kurangnya mereka bercakap bagi komuniti Cina.
“Waytha yang sememangnya mempunyai kuasa sekarang apatah lagi baharu sahaja menubuhkan parti untuk masyarakat India setelah meninggalkan Hindraf hanya bercakap tentang isu ini apabila hampir ‘basi’? Selepas yang lain-lain sudah kena ‘hentam’?
“Adakah masyarakat India mahu pemimpin seperti ini? Sekurang-kurangnya dari awal lagi pimpinan dari MIC sudah menyoal tentang perkara ini dan mendesak PH untuk memberikan penjelasan.
“Mengapa baru sekarang Waytha? Cukuplah retorik kamu, penyokong-penyokong kamu boleh bersorak kononnya kamu sudah bercakap walhal isu ini sudah ‘dua’ dimuktamadkan, apakah sebenarnya yang kamu cuba perjuangkan ini?
“Selesai dulu isu Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra), pemimpin kanan seperti Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy sendiri secara terang-terangan mengaku sudah tidak percaya dengan kepimpinan kamu,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Prasad mengulas kenyataan Waytha seperti yang di laporkan dalam laporan Malaysiakini adalah tidak realistik untuk mengajar khat di sekolah-sekolah Tamil dan beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Turut di laporkan Waytha berkata ada banyak lagi kemahiran boleh di perkenalkan atau di perkasakan ketika ini di sekolah-sekolah.
“Pada saya, tidak ada keperluan untuk perkenalkan khat di sekolah Tamil,” kata Waytha.
Pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).
Dr Maszlee sebelum ini menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.
Tun Dr. Mahathir pula senada dengan Maszlee mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. – MalaysiaGazette