Home Korban Kerana dalam Islam kita adalah bersaudara…

Kerana dalam Islam kita adalah bersaudara…

Daging ditimbang sebelum dibungkus dan diagihkan.

BURUNDI – Jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah hari.

Sudah lebih dua jam kenderaan pacuan empat roda membawa kami ke sebuah perkampungan kecil bernama Mgerangao yang terletak di wilayah Rumonge, tetapi nampaknya masih belum sampai-sampai.

Kami difahamkan ia cuma terletak kira-kira 70 kilometer dari ibu negara Burundi, Bujumbura.

Cuaca semakin panas. Alat penghawa dingin dalam kenderaan kami kini bertukar menjadi semakin membahang.

Rupa-rupanya kami terlupa mengambil kira satu perkara- keadaan jalan.

Kami terlupa yang 70 kilometer itu bukannya Lebuh Raya NKVE atau LDP, tetapi ia hanyalah sebuah jalan kampung kecil, yang penuh dengan lopak, lubang dan sebagainya.

ez1
Senarai nama peserta program korban.

Itu belum dicampur bagaimana kenderaan kami ditahan dalam sekatan jalan raya oleh polis tempatan.

Lucunya, tidak seperti polis di negara kita yang selalunya bertanyakan mengenai lesen memandu dan cukai jalan, polis di sini akan menahan kenderaan semata-mata untuk memastikan sama ada sesebuah kenderaan itu lampu, hon dan ‘wipernya’ berfungsi atau tidak. Itu saja!

Akhirnya setelah menempuh perjalanan yang penuh kesukaran, kami sampai di kampung yang dimaksudkan.

ez3
Kerja-kerja melapah daging sedang giat dijalankan.

Kira-kira 50 orang penghuninya sudah siap dengan pisau dan parang masing-masing.

Lebih separuh daripada 30 ekor lembu dari EZ Qurban sudah pun siap dilapah. Ada berbelas lagi yang belum disembelih sebab menantikan ketibaan kami. Dalam erti kata lain sebagai menghormati kami yang datang beratus ribu kilometer ke kampung mereka yang jauh di pendalaman.

Sejujurnya rata-rata daripada mereka melahirkan rasa terharu dan terhutang budi kepada kami kerana memilih perkampungan mereka sebagai lokasi penerimaan haiwan korban pada tahun ini.

ez4
Menunggu untuk diagihkan.

Ada di antara mereka seolah-olah tertanya-tanya, bagaimana ada sebuah negara yang terletak jauh di benua lain boleh datang dan ‘menghadiahkan’ haiwan korban ke situ sedangkan mereka tidak punya sebarang pertalian darah dan hubungan kekeluargaan dengan kita?

Namun akhirnya mereka menemui satu jawapan, dalam Islam kita semua adalah bersaudara waima apa warna kulit, darjat dan budaya.

Kami meninggalkan perkampungan tersebut dengan sejuta kepuasan. Melihat senyuman mereka telah melenyapkan sejuta kepayahan.

Malaysia, amanahmu telah kami tunaikan!

ez5
PENULIS merakam kenangan menyertai program korban di Burundi bersama EZ Korban.

– MalaysiaGazette