SINGAPURA- Di saat lebih seribu umat Islam berjemaah di Masjid Abdul Razak di Eunos dekat sini bagi menunaikan solat sunat Aidiladha pagi semalam, para sukarelawan daripada organisasi Budha, Shinnyo-en Singapore pula bertungkus-lumus membantu menguruskan sebahagian jalan yang ditutup bagi membolehkan lebih banyak ruang solat dapat disediakan.
Ini merupakan kali pertama para sukarelawan Shinnyo-en bertugas sebagai marsyal jalan raya semasa solat sunat Aidiladha.
“Setiap tahun jumlah jemaah yang datang ke Masjid Abdul Razak semakin bertambah dan sebahagian daripada mereka tidak dapat memasuki masjid.
“Akhirnya mereka terpaksa bersolat di atas lantai di luar masjid atau lebih teruk di tepi jalan premis berkenaan.
“Keadaan ini tidak selamat jadi pada tahun ini, kami telah membuat permohonan supaya sebahagian daripada jalan tersebut ditutup,” kata Setiausaha Masjid Abdul Razak, Syed Salleh.
Tambahnya, semasa idea tersebut dibentangkan dalam satu mesyuarat Kembangan-Chai Chee Inter-Racial and Religious Circle (IRCC), Shinnyo-en menawarkan diri untuk bertugas sebagai sukarelawan ketika solat sunat itu diadakan.
Sebelum ini, sukarelawan masjid bertugas setiap tahun bagi memastikan kelancaran perjalanan dan ini bermakna mereka terpaksa melepaskan peluang untuk sama-sama berjemaah menunaikan solat sunat tersebut.
Tetapi dengan bantuan daripada sukarelawan Shinnyo-en, kesemua umat Islam yang mahu menunaikan solat sunat semalam di Masjid Abdul Razak dapat berbuat demikian.
“Kami sangat gembira. Tidak sangka orang dari bangsa berlainan sanggup untuk membantu.
“Ini memberi peluang kepada sukarelawan-sukarelawan kami untuk bersolat dengan tenang,” kata Syed.
Menurut Pengurus Shinnyo-en, Tan Pia Tang, mereka lebih daripada gembira untuk membantu sahabat-sahabat muslim pada perayaan-perayaan akan datang.
“Singapura adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum tetapi kita juga kita ada banyak persamaan antaranya bersembahyang.
“Kami faham betapa pentingnya solat tersebut kepada rakan-rakan Muslim kami dan disebabkan itu kami sanggup menawarkan perkhidmatan sukarela bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang ini,” katanya.- Agensi