Home Nasional Polis Ireland, England, Perancis bantu siasat kehilangan Nora Anne

Polis Ireland, England, Perancis bantu siasat kehilangan Nora Anne

Polis dari Ireland, England dan Perancis kini berada di Malaysia bagi membantu siasatan kes remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

NILAI – Polis dari Ireland, England dan Perancis kini berada di Malaysia bagi membantu siasatan kes remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang sejak 4 Ogos lalu.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata pasukan berkenaan tiba di Malaysia minggu lepas, namun enggan memberitahu tarikh sebenar ketibaan dan jumlah anggota mereka.

“Pasukan ini hanya bantu kami dalam siasatan kes kehilangan Nora Anne dan mereka tidak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, Seremban, hari ini.

Mengenai skala pencarian hari ini, Che Zakaria berkata operasi tertumpu di Gunung Berembun melibatkan kekuatan 353 anggota yang digerakkan secara berperingkat.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 176 anggota terlibat dalam pencarian di Gunung Berembun sejauh 12 kilometer yang telah bermula pada 8.30 pagi tadi.

“Bagaimanapun, kami masih meneruskan skala kawasan pencarian dalam enam kilometer radius itu,” katanya sambil mengakui pasukan mencari dan menyelamat berdepan cabaran ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan sejak tiga hari lepas.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di resort itu.

— BERNAMA