PUTRAJAYA – Tandas di Malaysia kotor dan busuk.
Itu pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang malu dengan keadaan tandas-tandas di negara ini, khususnya tandas awam.
Kata-kata itu dinyatakan Dr Mahathir berdasarkan beberapa pemeriksaan mengejut yang dibuat oleh beliau.
“Kita sering menyuarakan perasaan tidak senang kerana kalau ada tandas untuk orang ramai, keadaan itu tidak baik sama sekali.
“Kalau kita pergi ke negara tertentu, tandas untuk orang awam amat bersih. Tandasnya bersih kerana pengguna tidak kotorkan keadaan. Kenapa? Dia rasa bertanggungjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap diri.
“Dengan itu, dia akan jaga kerana dirinya memang bersih dan tidak lakukan sesuatu yang mengotorkan tandas,” katanya dalam ucapan perasmian Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan, hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching.
Sifat tidak mementingkan kebersihan sebenarnya mencerminkan sikap sebenar masyarakat negara ini.
Jelasnya, masyarakat negara ini tidak malu dengan perkembangan negatif ini walaupun ia memaparkan sifat sivik kita yang rendah.
“Kita berpendapat, tak ada orang akan tahu siapa buat apa. Ini disebabkan oleh tidak ada perasaan tanggungjawab sivik dalam hati kita.
“Sekarang ini kita juga lihat kekotoran, sampah. Sampah di sekeliling kita, ini menjadi masalah kalau kawasan itu kecil, penduduknya 10 orang, dia buat sampah sedikit saja.
“Tetapi bayangkan jika tiga juta penduduk ibu kota Kuala Lumpur membuang puntung rokok yang dihisap mereka setiap hari, ia akan memberikan natijah kepada kebersihan kota raya dan masyarakat.
“Tapi dalam satu bandar macam Kuala Lumpur ini apabila 3 juta penduduk buang puntung rokok saja pun dalam sedikit masa saja, kita akan hidup di atas gunung rokok yang dibuang,” katanya lagi. -MalaysiaGazette