Home Ekonomi Indeks Harga Pengguna Julai naik 1.4%

Indeks Harga Pengguna Julai naik 1.4%

Harga sayur-sayuran meningkat. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.4 peratus pada Julai 2019 kepada 121.5 berbanding 119.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.3%), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (2.4%), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (2.4%), Minuman Alkohol & Tembakau (2.3%) dan Komunikasi (2.1%).

Bagi perbandingan bulanan, IHP menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding bulan Jun 2019. Ia telah disokong terutamanya oleh Makanan & Minuman Bukan Alkohol (0.3%), Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.2%) dan Pengangkutan (0.2%).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari – Julai 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol menunjukkan peningkatan 2.4 peratus pada Julai 2019 berbanding tempoh masa yang sama pada tahun sebelumnya.

Kenaikan ini didorong oleh kenaikan subkumpulan Sayur-sayuran (4.7%), Susu & Telur (2.6%) dan Buah-buahan (2.5%).

Antara indeks barangan yang menunjukkan kenaikan harga di kebanyakan negeri adalah Cili Merah (21.8%), Cili Hijau (16.3%), Kobis Bulat (15.1%), Kerang (14.6%), Salad Bulat (14.4%), Yoghurt (13.9%), dan Cili Burung (12.7%).

Indeks Makanan di Luar Rumah meningkat 4.4 peratus pada Julai 2019 berbanding Julai 2018. Kenaikan harga bagi Burger, Ayam Goreng, Pizza dan Makanan Laut selain Ikan telah menyumbang kepada kenaikan indeks bagi subkumpulan ini. (Jadual 1)

Menurutnya, empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.2%), Pulau Pinang (2.1%), Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.7%) dan Johor (1.5%) menunjukkan kenaikan melepasi paras nasional IHP sebanyak 1.4 peratus pada Julai 2019 berbanding Julai 2018. Sementara itu, Negeri Sembilan dan Perak menunjukkan kenaikan pada paras yang sama dengan IHP nasional.

Semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.

Kenaikan tertinggi telah direkodkan oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.4%), Pulau Pinang (3.0%), Johor (2.7%) dan Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.6%) dan kenaikannya melebihi paras indeks nasional kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol bagi bulan Julai 2019.

Indeks teras juga meningkat 2.0 peratus pada Julai 2019 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.3%), Makanan & Minuman Bukan Alkohol (3.1%), Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (2.4%) dan Komunikasi (2.1%).

Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal. – MalaysiaGazette