KUALA LUMPUR – Cabaran sebenar hari ini ialah membangunkan sistem pendidikan terbaik untuk masa depan Malaysia di mana sehingga kini bukan sahaja Menteri Pendidikan, Dong Jiao Zong malah pelbagai pihak berkepentingan masih gagal memahaminya.
Itu luahan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kontroversi tidak berkesudahan pengenalan tulisan khat di sekolah sejak lebih dua minggu ini.
Malah kata Mohamad Hasan, isu itu kini telah begitu dipolitikkan sehingga tersasar dari perkara sebenar dengan dakwaan pengenalan tersebut bertujuaan Islamisasi.
“Ini juga bukan soal tiada rundingan antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan semua parti politik lain, sejak bila kurikulum pendidikan kebangsaan harus digubal melalui konsultasi dan restu politik?
“Biarkan penggubal kurikulum kita dengan tugas mereka. Mereka punya kearifan yang kita tidak miliki.Khat juga bukan tentang ilmu yang lapuk sebaliknya anggapan kononnya khat tiada manfaat adalah golongan tidak faham ilmu.
“Apa yang pasti polemik ini sudah buktikan betapa di Malaysia kita masih tidak jelas tentang dasar pendidikan bagaimana yang diperlukan oleh negara ini,” katanya dalam laman sosial Facebook beliau.
Mohamad Hasan menyambung, satu kemestian untuk mengembalikan pendidikan kepada landasan sebenarnya, iaitu merangsang rasa ingin tahu dengan pendedahan pelajar di sekolah vernakular tentang khat.
“Ini bukan untuk jadikan mereka mahir dalam khat apatah lagi pakar jawi sebaliknya untuk merangsang perasaan ingin tahu dalam diri mereka.
“Episod khat ini menggambarkan perjalanan jauh kita untuk menjadi negara maju, apatah lagi bangsa maju. Lihat sahaja naratif negara maju yang kita digunakan, ‘negara berpendapatan tinggi’, ‘Harimau Asia’ dan pelbagai lagi,” jelasnya.
Kata beliau, ada segelintir pihak beranggapan hanya coding, sains dan teknologi, matematik dan Bahasa Inggeris akan menjadikan Malaysia dan rakyatnya kompetitif.
“Tetapi mereka lupa, pembangunan Malaysia yang moden dan terkehadapan menjangkaui spektrum sains dan teknologi. Apakah kita lupa bahawa kekuatan sebenar Malaysia adalah kemajmukan negara ini, bukan wibawanya dalam sains dan teknologi.
“Pelabur ingin melabur di Malaysia bukan kerana Malaysia mempunyai bakat terbaik dunia. Tetapi keyakinan mereka terhadap kestabilan politik dan keharmonian kaum yang unik malah teruji dek zaman,” ujar beliau.
Katanya lagi, anak-anak hari ini menjalani kehidupan harian dengan gajet untuk tweeting, googling ataupun e-mailing dan sebagainya.
“Mereka celik teknologi. Tetapi mereka juga mesti faham bahawa sains dan teknologi mesti bermanfaat untuk masyarakat. Kerana itu ilmu berkaitan kemanusiaan, bahasa, kepercayaan agama, kerencaman budaya dan pelbagai yang lain itu penting.
“Ia akan memberikan sains dan teknologi itu dimensi manusiawinya. Bayangkan kelak ‘manuskrip’ yang didigitalkan hanya menjadi pameran kerana sudah tidak ada sesiapa yang mampu membaca dan memberi makna kepada kandungannya.
“Bayangkan jika sejarah Malaysia diajar menggunakan sains multimedia termaju tetapi tiada siapa berminat mempelajarinya kerana bukan subjek kompetitif. Jika bahasa Melayu menjadi bahasa picisan kerana bahasa global bukan sahaja bahasa Inggeris, tetapi kod-kod pengaturcaraan dalam komputer.
“Kalau ini bukan tragedi kepada sebuah bangsa, dan kepada sebuah negara, maka saya tidak tahu apa lagi makna ancaman kepada sebuah peradaban,” katanya. –MalaysiaGazette