SEREMBAN – Pakar patalogi, Dr Siow Chui Feng bersama dua pegawai meninggalkan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar kira-kira pukul 9.25 malam, namun usaha kumpulan wartawan yang menunggu sejak awal pagi tadi untuk mendapatkan ulasan daripada mereka gagal.
Dr Siow yang didatang khas dari Hospital Kuala Lumpur memulakan bedah siasat ke atas mayat Nora Anne Quoirin, kira-kira pukul 11.45 pagi tadi bersama-sama Dr Hanif Mohammad dari Hospital Tuanku Ja’afar dengan dibantu pegawai Kimia, DNA dan Forensik dari Petaling Jaya, Noor Aidura Saadon dan Sufian Arshad Mohammad.
Namun selepas hampir 10 jam, masih ada belum jawapan mengenai punca sebenar kematian remaja warga Ireland yang berusia 15 tahun itu dan mayatnya ditemui dalam keadaan tidak berpakaian kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun di sini semalam.
Nora Anne bersama ibu, bapa dan dua adik tiba untuk percutian dua minggu pada 3 Ogos lalu dan dilaporkan hilang dari bilik keesokan harinya.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika bercakap dalam sidang media terakhir untuk hari ini berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan bedah siasat.
“Laporan bedah siasat telah dijalankan sjak 11.45 pagi lagi dan masih diteruskan. Oleh itu sehingga kini kita masih belum menerima keputusan sebab sebab kematian (Nora).
“Malah saya juga tidak dapat memastikan sehingga jam berapa bedah siasat akan dijalankan.
“Ini sahaja saya dapat maklumkan kepada anda (media) tentang perkembangan bedah siasat,” katanya yang sebelum itu memberitahu sidang media akan diadakan pada pukul 5 petang dan kemudiannya ditunda ke pukul 8 malam.
Kira-kira 60 pengamal media tempatan dan antarabangsa menunggu sejak awal pagi untuk mengetahui perkembangan terkini di sebalik kematian Nora Anne yang mayatnya disahkan oleh Maebh Jaseprine Quoirin dan suaminya, Sebastian Marie Philipe malam semalam.
Mengulas lanjut Che Zakaria berkata, beliau menerima arahan daripada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop supaya membuat satu lagi pengumuman media esok.
“Waktu dan masa akan dimaklumkan kepada anda kemudian,” tegasnya sebelum masuk semula ke jabatan forensik.
Senior Patalogi HKL itu hadir ke Jabatan Perubatan Forensik 9.05 pagi tadi menaiki kenderaan pacuan empat roda hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette