BEIJING- Pertumbuhan output industri China perlahan lebih daripada jangkaan, susut kepada 4.8 peratus pada Julai berbanding tempoh sama tahun lalu.
Penurunan yang ditunjukkan data rasmi itu disebabkan tekananĀ perang perdagangan di antara ekonomi kedua terbesar dunia itu dengan Amerika Syarikat.
Pertumbuhan Julai merupakan kadar terendah sejak Februari 2002.
Undian penganalisis yang dilakukan oleh Reuters mengunjurkan output industri patut meningkat 5.8 peratus Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, bagaimanapun perbandingan bulanan dijangka menyusut berbanding 6.3 peratus yang direkodkan pada Jun.
Pelaburan aset tetap bagi tujuh bulan pertama tahun ini meningkat 5.7 peratus, demikian menurut data yang diterbitkan oleh Biro Statistik Kebangsaan.
Penganalisis menjangkakan pelaburan aset tetap meningkat 5.8 peratus bagi tempoh berkenaan.
Pelaburan aset tetap sektor swasta yang mewakili 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara berkembang 5.4 peratus bagi tempoh Januari-Julai berbanding 5.7 peratus bagi enam bulan pertama tahun ini.
Pertumbuhan jualan runcit turut perlahan daripada jangkaan, naik 7.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Ia berkembang 9.8 peratus pada bulan sebelumnya.
Penganalisis menjangkakan segmen tersebut sepatutnya tumbuh 8.6 peratus.- MalaysiaGazette