SEREMBAN – Para pengamal media sudah mula memenuhi kawasan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban bagi melaporkan perkembangan terkini proses bedah siasat ke atas mayat Nora Anne Quoirin, 15, yang dijadualkan berlangsung pada 10 pagi ini.
Bedah siasat itu akan dijalankan oleh Patologi Kanan Hospital Kuala Lumpur.
Ketua Polis Negeri Sembilan Komisioner Datuk Mohamad Mat Yusop semalam berkata, proses bedah siasat terhadap mayat Nora akan dilaksanakan namun tidak dapat memastikan jangka masanya yang mungkin diambil.
Keputusan bedah siasat itu dijangka diumumkan oleh Mohamad sejurus proses tersebut selesai nanti.
Tinjauan MalaysiaGazette sekitar 7.30 pagi tadi mendapati keadaan tenang di hadapan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar di sini.
Namun, kelibat wartawan, jurugambar dan jurukamera semakin bertambah.
Ahli keluarga mendiang Nora Anne iaitu ibunya Maebh Jaseprin Quoirin dan bapanya Sebastian Marie Philipe dijangkakan turut bersama apabila proses bedah siasat berlangsung kelak.
Semalam keluarga Nora Anne hadir sekitar pukul 8.40 malam bagi tujuan pengecaman mayat yang ditemui di kawasan hutan di Pantai, Seremban.
Sekumpulan pendaki bersama Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) menjumpai mayat wanita di Gunung Berembun kira kira 2.5 kilometer dari The Dusun Berembun Resort di Pantai, Seremban, 1.57 petang semalam.
Mayat itu ditemui berhampiran anak sungai.
Nora Anne didapati hilang dari bilik penginapannya pada pukul 8 pagi pada 4 Ogos lalu dan mayat itu ditemui selepas genap 10 hari kehilangannya.
Mendiang yang juga remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos lalu untuk percutian selama dua minggu di negara ini.- MalaysiaGazette