Home Nasional 15 PIBG SJKT Wilayah Persekutuan tolak pengenalan tulisan jawi

15 PIBG SJKT Wilayah Persekutuan tolak pengenalan tulisan jawi

KUALA LUMPUR – Semalam Kabinet memutuskan pembelajaran seni khat jawi yang diubah nama kepada pengenalan tulisan jawi hanya akan dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan murid sekolah berkenaan.

Dan semalam juga sebanyak 15 PIBG dan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) Tamil Wilayah Persekutuan membuat keputusan tidak akan melaksanakan pembelajaran tersebut yang sepatutnya dimulakan tahun depan bagi murid Tahun 4.

Kumpulan ini sebulat suara menolak pengenalan tulisan Jawi di sekolah Tamil yang pada mereka tidak mendatangkan sebarang faedah sebaliknya banyak perkara lain boleh di berikan fokus utama oleh Kementerian Pendidikan.

Tolak Khat 1

Jurucakap juga Pengerusi LPS, M Vetrivelan memberitahu MalaysiaGazette, dari awal lagi pihaknya cukup terkejut dengan cadangan kementerian yang jelas sekali jauh menyimpang daripada objektif asal memperkukuhkan sistem pendidikan negara.

Jelasnya, pengenalan tulisan Jawi bagi murid di SJK tidak bertepatan keperluan sebenar pembelajaran Bahasa Melayu.

“Tahukah kamu 30 hingga 40 peratus pelajar sekolah Tamil ini gagal Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana masalah menguasai Bahasa Melayu?

“Mengapa tidak daripada memperkenalkan khat ini, anda kaji untuk menambah masa tambahan bagi subjek ini supaya ianya bukan sahaja mendatangkan faedah tetapi kemahiran penguasaan mereka juga bertambah?

“Kami tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid SJKT kerana tidak bertepatan dengan keperluan sebenar pembelajaran subjek itu.

“Malah ia tidak memberi bantuan untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu, dalam isu ini kita tidak akan sesekali berkompromi sampai bila-bila,” tegasnya.

Tolak Khat

Kata Vetrivelan lagi, pengenalan pelajaran tulisan Jawi untuk murid Tahun 4 di SJKC dan SJKT dikhuatiri akan mengurangkan lagi masa pembelajaran Bahasa Melayu yang diperuntukkan ketika ini.

“Lebih wajar kementerian menumpukan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu berbanding memperkenalkan pelajaran tulisan khat.

“Kami pohon dan harap kerajaan, terutama KPM dan Perdana Menteri dapat mendengar suara kami dan membuat keputusan yang boleh menyumbang ke arah memelihara keharmonian kaum,” ujarnya.

Perancangan memperkenalkan tulisan Jawi dalam kurikulum sekolah sudah dimulakan sejak 2014. –MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Tulisan Jawi di SJK hanya dilaksana jika dipersetujui PIBG, ibu bapa dan murid

7 Komen

Comments are closed.