Home Nasional Agong, permaisuri rakam takziah atas kematian Nora Anne

Agong, permaisuri rakam takziah atas kematian Nora Anne

Nora Anne Quoirin

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan dukacita atas kematian Nora Anne Quoirin.

Remaja Perancis-Ireland itu ditemui mati pada Selasa, setelah dilaporkan hilang pada 4 Ogos selepas dia dan keluarganya mendaftar masuk ke sebuah eko-resort berhampiran Seremban sehari sebelum itu, untuk bercuti dua minggu di Malaysia.

“Seri Paduka berdua amat sedih apabila mendengar tentang kematian Nora Anne Quoirin,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Seri Paduka berdua turut mengucapkan takziah dan simpati kepada ibu bapa Nora Anne, saudara kandung dan kaum keluarganya.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat serta sukarelawan yang terbabit dalam operasi mencari remaja berkeperluan khas itu.

Beliau berkata Seri Paduka turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa dari Britain, Perancis dan Ireland kerana sokongan yang dihulur dalam kes Nora Anne.

“Seri Paduka menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi tentang kes ini sehingga siasatan polis selesai,” kata Ahmad Fadil.

Mayat remaja berusia 15 tahun itu dijumpai di kawasan lurah berhampiran anak sungai kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya.

Pihak berkuasa Malaysia melancarkan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran untuk mencari remaja itu, bagaimanapun, pencarian itu berakhir dengan kesedihan apabila mayatnya dijumpai pada hari ke-10 operasi.

— BERNAMA