Home Nasional Betulkan industri teksi dulu, kemudian baru carum PERKESO – Shamsubahrin

Betulkan industri teksi dulu, kemudian baru carum PERKESO – Shamsubahrin

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail bercakap kepada media mengenai pemandu teksi dan bas pelancong yang tidak mematuhi peraturan lesen kenderaan pengangkutan awam di Pusat Beli-Belah Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Langkah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang mahu mengenakan kompaun kepada pemandu teksi, bas dan e-hailing yang belum berdaftar serta mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) boleh mewujudkan banyak rusuhan dan demonstrasi.

Ini kerana, kebanyakan pemandu teksi kini berdepan dengan situasi sulit gara-gara isu yang membabitkan perkhidmatan e-hailing, kata Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail.

Beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan itu yang dilihat seolah-olah memaksa pemandu teksi untuk mencarum sedangkan mereka sendiri berdepan pelbagai masalah terutama untuk mendapatkan pendapatan harian.

“Itu tak kena pada pendapat saya sebab isu e-hailing dengan industri belum settle lagi.

“Dia nak paksa, dia kena kuatkuasa e-hailing, dia nak paksa, saya rasa pemandu tak ada masalah untuk bayar tapi sekarang ini industri teksi tidak dikuatkuasa dengan kuat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Shamsubahrin berkata demikian ketika diminta mengulas langkah PERKESO yang telah memulakan operasi mengenakan kompaun tersebut bermula Selasa lalu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pelaksanaan kompaun itu dilaksanakan selaras penguatkuasaan Ops Patuh, yang dilancarkan 1 Ogos lalu.

Katanya, Ops Patuh itu dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan terhadap pemandu teksi dan e-hailing yang belum mendaftar serta mencarum dengan SKSPS.

Mengulas lanjut, Shamsubahrin menegaskan pendapatan pemandu teksi kini terjejas kerana kerajaan memberi kelonggaran kepada perkhidmatan e-hailing untuk beroperasi.

“Saya tak cakap e-hailing tak kena PEKESO. Memang dia kena. Tapi dari fakta-fakta lain dia masih bebas. Jadi pelaksanaan untuk memaksa pemandu teksi mencarum PERKESO tak betul,” ujarnya.

Tambah beliau, belum tiba masanya untuk langkah mencarum itu dikenakan kepada perkhidmatan teksi, lebih-lebih pakej-pakej yang disediakan dalam PERKESO tidak menarik.

Katanya, PERKESO perlu mengemaskini dulu pakej-pakej yang hendak ditawarkan sebelum mahu menguatkuasakan perkara itu kepada pemandu teksi.

“Saya tak cakap saya tak sokong. Saya sokong. PERKESO dia bagi satu alternatif untuk pemandu teksi mencarum insurans bagus tapi pakej kena betulkan balik lepas tu industri teksi kena betulkan dulu. Baru pemandu boleh bayar,” tegasnya. – MalaysiaGazette