Home Sukan KJ, Hamidin rahsia kejayaan skuad B-18

KJ, Hamidin rahsia kejayaan skuad B-18

B Sathianathan

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menegaskan kejayaan positif skuad muda dalam kempen AFF bawah 15 tahun (B-15) dan B-18 bukan hadir di bawah kepimpinan satu individu semata-mata.

Sebaliknya Sathianathan menegaskan prestasi memberangsangkan skuad junior negara ini adalah hasil kerja keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan jalinan kerjasama erat bersama kerajaan pusat.

Justeru pengendali Selangor itu menyifatkan tidak patut mana-mana pihak mendakwa kejayaan pasukan muda kebangsaan hadir daripada seorang individu di mana Sathianathan menegaskan permulaan baharu bola sepak negara adalah hasil daripada penglibatan semua pihak.

Bagaimanapun, Sathianathan turut mengakui mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin antara nama yang wajib dimaksudkan selepas menyaksikan kebangkitan prestasi pasukan muda negara di pentas antarabangsa.

Sebagai rekod, pasukan bimbingan P Maniam dan skuad kendalian Brad Maloney mencuri tumpuan media Asia apabila masing-masing menewaskan Australia 3-0 dalam aksi AFF B-15 dan AFF B-18.

“Tiada siapa boleh ‘claim’ (mendakwa) kejayaan hari ini (skuad B-15 dan skuad B-18) adalah inspirasi atau ilham daripada satu individu tetapi ini adalah hasil daripada kerja berpasukan di antara FAM dan kerajaan Pusat.

“Jika anda masih bertanyakan kepada saya siapakah individu bertanggungjawab dalam kebangkitan prestasi ini, secara peribadi saya boleh sebutkan dua nama iaitu Khairy dan Hamidin, bukannya orang lain.

“Ini kerana kita harus ingat Khairy yang membentangkan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) kepada parlimen di mana ini adalah kali pertama bola sepak berada dalam agenda negara.

“Jadi idea Khairy ini membuktikan pemain-pemain muda kita sebenarnya memiliki potensi besar manakala peranan Hamidin pula mengembangkan idea Khairy menjadi lebih baik mengikut kesesuaian bola sepak tempatan, sesuai dengan kepimpinan dan ketokohan beliau dalam bola sepak tempatan.

“Jika betul ada orang yang mahu ‘claim’, sepatutnya datang daripada dua individu ini bukannya orang lain atau jika setakat datang untuk menguruskan projek yang sudah ada atau telah dirancang, semua orang boleh lakukan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Sathianathan menegaskan pelaksanaan program pembangunan akar umbi ini adalah usaha yang sentiasa tidak menjadi pertikaian daripada mana-mana pihak.

Namun Sathianathan mengingatkan semua pihak harus bekerja lebih keras dan memastikan kebangkitan pasukan muda negara berada dalam landasan yang betul.

“Seingat saya, tiada lagi mana-mana pihak menuduh program berkaitan pembangunan akar umbi adalah satu projek yang gagal termasuk NFDP.

“Mungkin ada segelintir pihak silap tafsir maksud kegagalan sebagai jurulatih dan pengarah teknikal atau sebagainya.

“Seperti saya katakan tadi, jika sesiapa yang dilantik pun akan menikmati kejayaan positif kerana kita sebenarnya memiliki ramai pemain-pemain muda berbakat besar.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan muda negara tetapi perjalanan kita masih jauh dan saya percaya kita harus berusaha lebih keras untuk mengekalkan prestasi positif ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette