Home Politik Petisyen Armada bersifat politik, populis – Wira Putra

Petisyen Armada bersifat politik, populis – Wira Putra

Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (tengah) bercakap kepada media selepas menghantar memorandum menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan Dong Zong di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) perlu lebih bijak dalam usaha mendesak agar Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) diharamkan.

Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, ini kerana pelancaran petisyen oleh sayap kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hanya bersifat politik.

Beliau berkata, tindakan itu belum cukup untuk mempertahankan hak orang Melayu di negara ini.

“Pelancaran petisyen hanya bersifat politik dan tidak mempertahankan hak orang Melayu.

“SebaliknyaArmada perlu lebih bijak dengan duduk berbincang pucuk pimpinan parti mereka kerana mereka kini adalah kerajaan pada hari ini.

“Jangan anggap isu Dong Zong ini remeh dan cuba menjadi populis serta tidak sesuai untuk sayap diketuai Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum yang menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan Dong Zong di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Asisten Suprintenden Abdul Rahim Othman Siru.

Malam tadi, Wira Putra turut membuat laporan polis ke atas pertubuhan itu di Balai Polis Dang Wangi.

Mengulas lanjut mengenai memorandum, Nasrul Ali Hasan berkata, KDN digesa mengharamkan Dong Zong yang merupakan pertubuhan rasis kerana sentiasa menentang dasar-dasar nasional dan menggugat ketenteraman rakyat negara ini.

Beliau berkata, Dong Zong turut didakwa menjadi agen ekstrimis dalam memberi gambaran dan interpretasi palsu serta menyemai pemikiran negatif kepada masyarakat terutama kepada bukan Islam.

“Selain menjadi agen penyebar fitnah, pertubuhan itu telah membentuk karakter sebagai pembohong besar serta pemanipulasi ekstrem yang tidak bertanggungjawab terhadap agama Islam, tulisan Jawi dan kaligrafi Khat.

“Pada masa sama Dong Zong juga sentiasa mengalukan, menggalak dan mengesyorkan gerakan provokasi serta fahaman super ektremis serta bersikap ultra kiasu demi kepentingan sendiri dan membelakangkan semangat patriotisme yang diamalkan dalam sistem pentadbiran negara sejak dari zaman kemerdekaan lagi,” katanya.

Nasrul Ali Hasan menegaskan, Dong Zong wajib diharamkan dengan segera sebelum lebih banyak kerosakan dan perpecahan serius berlaku di kalangan masyarakat negara pelbagai kaum.

Malah katanya, tindak-tanduk pertubuhan itu dilihat telah menghina dan mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette