KUALA LUMPUR – Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan melahirkan kebimbangannya terhadap beberapa isu yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Menerusi sebuah poster di laman Facebook milik beliau, Zahida mempersoalkan beberapa perkara yang menjadi isu dan disifatkannya sebagai mengikut telunjuk DAP di bawah petadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).
“Kebimbangan dan kegusaran rakyat makin memuncak. Agama Islam dan Bangsa Melayu makin terancam di zaman PH sekarang.
“Keadilan pula makin teruk ‘dirogol’ sang penguasa. Adakah ini hala tuju Malaysia Baharu? Mengikut bentuk acun DAP?
“Tiada apa lagi boleh diharap pada Pakatan Harapan yang terus gagal dalam membela rakyat,” demikian hantaran Zahida di laman sosial tersebut.
Berdasarkan iklan yang ditulis pada poster berkenaan Zahid dipercayai merujuk perkara yang dimaksudkan itu terhadap beberapa pimpinan DAP apabila menggesa kerajaan mengusir pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik yang kini berada di Malaysia.
Beliau turut mempersoal sama ada DAP kini sudah menjadi “tuan tanah” apabila mahu mengusir seorang pendakwah dari negara ini. – MalaysiaGazette