KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua 2019 berbanding 4.5 peratus tempoh yang sama tahun lepas (4.5 peratus pada suku pertama 2019).
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos, perkembangan positif itu disokong oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang lebih tinggi.
“Malaysia merekodkan kadar pekerjaan penuh yang sekali gus menyokong perbelanjaan pengguna.
“Perbelanjaan swasta dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh dan bukannya kredit.
“Ini bermakna penggunaan di negara ini dipacu oleh pendapatan sebenar,” katanya semasa taklimat media Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia Suku Kedua 2019 di sini hari ini.
Tambah Nor Shamsiah, dari sudut penawaran, sektor perlombongan terutamanya kembali mencatatkan pertumbuhan positif didorong oleh pemulihan pengeluaran gas asli.
Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus disokong oleh aktiviti sektor swasta namun sektor luaran diramal terus menerima kesan daripada pertumbuhan global yang lebih perlahan ekoran ketegangan perdagangan yang masih belum selesai.
“Secara keseluruhan unjuran pertumbuhan asas menunjukkan ekonomi Malaysia akan berkembang antara 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.
“Kami masih mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar tetapi sebarang angka baharu akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2020 nanti,” tambahnya.
Menurut Nor Shamsiah, inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan purata yang lebih tinggi pada separuh kedua 2019 berbanding separuh pertama lalu.
Ini adalah susulan luputnya kesan daripada kesan perubahan dasar cukai penggunaan.
Inflasi asas pula diunjurkan kekal stabil disokong oleh pengembangan aktiviti ekonomi yang berterusan dan ketiadaan permintaan yang besar.-MalaysiaGazette