Home Politik Karim Bujang sedia dicalonkan semula

Karim Bujang sedia dicalonkan semula

Karim Bujang. Foto Sabah Post

KOTA KINABALU – Bekas calon Parti Warisan Sabah (Warisan), yang kalah tipis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Datuk Karim Bujang berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan siapa calon sekiranya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Kota Kinabalu hari ini yang mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Anifah Aman di kerusi tersebut pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal.

“Saya serahkan kepada pucuk pimpinan Warisan untuk meletakkan calon yang mereka rasa sesuai sekiranya adalah pilihan raya kecil nanti. Bagaimanapun, saya bersedia (jika dicalonkan semula),” katanya pada sidang media di sini.

Pada PRU14, 9 Mei, 2018, Anifah, yang juga bekas Menteri Luar, memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 156 undi dengan keputusan melibatkan 11,942 undi manakala Karim sebanyak 11,786 undi.

Susulan keputusan mahkamah tersebut, Karim meminta kesemua penyokongnya supaya bertenang kerana berpendapat kes tersebut belum selesai memandangkan pihak lawan masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.

Justeru, katanya, dalam tempoh tersebut, beliau akan memberi penerangan kepada penyokong parti supaya bersiap sedia sekiranya ada pilihan raya kecil nanti serta jangan mendengar berita palsu yang mungkin disebar oleh pihak tertentu atau media yang tidak sahih.

Terdahulu, Hakim Lee Heng Cheong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Beliau berkata, penambahan kertas undi tidak berkaitan adalah satu kesalahan serius yang telah mempengaruhi keputusan pilihan raya itu, justeru kemenangan tersebut terbatal.

Mahkamah turut mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), selaku responden kedua, membayar kos RM100,000 kepada Karim.

Pada 18 Jun tahun lalu, Karim menfailkan petisyen bagi mencabar kemenangan Anifah dengan menamakan lawannya itu sebagai responden pertama. – MalaysiaGazette