Home Ekonomi Malaysia rasai tempias positif perang perdagangan AS-China

Malaysia rasai tempias positif perang perdagangan AS-China

Reaksi Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus meneliti laporan pretasi ekonomi sebelum sidang media Prestasi Ekonomi Suku Kedua Tahun 2018 di Bank Negara, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 OGOS 2019

KUALA LUMPUR- Malaysia sudah merasai tempias positif daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China apabila berlakunya peralihan perdagangan (trade diversion) ke negara ini.

Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus, petunjuk peralihan perdagangan itu masih di peringkat awal dan kesannya mungkin hanya akan dirasai seawal-awalnya hujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Ada produk-produk dari sektor pengilangan mula menyaksikan peningkatan volum pengeluaran.

“Terdapat juga petunjuk yang menunjukkan ada kemungkinan kemudahan pengeluaran akan dipindahkan ke Malaysia sama ada melalui pembukaan kilang baharu atau melalui peningkatan kapasiti produk,” katanya.

Tambah Nor Shamsiah, penyusutan ringgit juga telah membantu meningkatkan volum tempahan dari sektor pengilangan.

Menyentuh mengenai hasil bon global yang berterusan jatuh, beliau menjelaskan, trend negatif hasil bon Malaysia itu tidak seteruk negara-negara serantau yang lain.

Katanya, pasaran bon Malaysia adalah pelbagai ditambah dengan pangkalan pelabur yang berbeza sekali gus dapat membantu mengurangkan impak daripada kejatuhan hasil bon yang sedang berlaku sekarang.-MalaysiaGazette