Home Ekonomi Ringgit serap impak negatif ekonomi global

Ringgit serap impak negatif ekonomi global

Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR- Penyusutan nilai ringgit menjadi elemen penting dalam menyerap impak negatif yang berlaku akibat tekanan persekitaran global.

Menurut Gabenor Bank Negara, Datuk Shamsiah Mohd. Yunus, penyusutan ringgit berjaya menghalang aktiviti ekonomi daripada terkesan akibat ketidaktentuan global.

“Ringgit telah memainkan peranan yang sangat penting di dalam menyerap (kejutan ekonomi global) bagi memastikan perkembangan luaran dan ketidaktentaun global tidak menjejaskan aktiviti ekonomi (Malaysia),” katanya semasa taklimat media Prestasi Ekonomi Malaysia Suku Kedua 2019 di sini hari ini.

Tambah Nor Shamsiah, walaupun ringgit telah merekodkan kejatuhan sebanyak 1.3 peratus setakat ini, ia masih berada di tengah-tengah kumpulan jika dibandingkan dengan negara-negara serantau yang juga mengalami kejatuhan nilai matawang masing-masing berbanding dolar Amerika.

Katanya lagi, prestasi ringgit merupakan salah satu kekuatan ekonomi Malaysia ketika ini dan beliau masih belum nampak sebarang impak negatif berlaku terhadap aktiviti ekonomi di negara ini.

“Kita telah mengharungi beberapa siri aliran keluar modal yang besar dan kejatuhan teruk nilai ringgit.

“Bagaimanapun, ekonomi Malaysia masih lagi berkembang manakala pasaran kewangan terus berfungsi seperti biasa,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai pengurangan kadar faedah selanjutnya, Nor Shamsiah menjawab, bank pusat itu sentiasa membuat pernilaian terhadap perkembangan luaran di samping menilai kesan kepada trajektori pertumbuhan sederhana sama ada dari segi perkembangan ekonomi mahupun inflasi.

“Keputusan untuk menurunkan atau mengekalkan kadar faedah dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari.

“Saya tidak boleh komen, tunggulah keputusan mesyuarat yang akan diadakan 11 September ini,” katanya lagi.

Bank Negara telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata peratusan kepada tiga peratus pada Julai lalu. – MalaysiaGazette

+ posts