Home Dunia Kim Jong Un pantau pelancaran peluru berpandu semalam

Kim Jong Un pantau pelancaran peluru berpandu semalam

Kim Jong Un. foto Reuters

SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengawasi ujian peluru berpandu yang dilepaskan pada pagi Jumaat, lapor agensi berita KCNA.

Korea Utara melancarkan sekurang-kurangnya dua peluru berpandu balistik jarak pendek pada hari Jumaat, kata tentera Korea Selatan, pelancaran keenam sejak akhir bulan Julai lalu.

Keadaan itu dilihat merumitkan usaha untuk memulakan semula perbincangan antara Amerika Syarikat dan Korea Utara menerusi program penghapusan senjata nuklear.

Stephen Biegun, Duta Khas Amerika Syarikat untuk Korea Utara akan ke Jepun dan Korea Selatan minggu depan untuk menyelaraskan usaha bagi menjamin penghapusan senjata nuklear Korea Utara, kata Jabatan Negara.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Donald Trump berkata, Kim Jong Un telah bersedia untuk memulakan rundingan yang terhenti dengan Amerika Syarikat dan akan menghentikan ujian peluru berpandu sebaik sahaja latihan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Korea Selatan berakhir.

Pelancaran peluru berpandu oleh Pyongyang sebagai tanda protes latihan ketenteraan yang bermula minggu lalu yang disifatkan oleh Korea Utara sebagai latihan untuk perang.

Kementerian Pertahanan Seoul pula tidak menolak Korea Utara melepaskan peluru berpandu yang sama digunakan pada 10 Ogos lalu, yang didakwa Pyongyang sebagai ujian senjata baharu.

Perbincangan mengenai penghapusan nuklear menjadi buntu sejak pertemuan pertama antara Trump dan Kim pada 30 Jun lalu. – MalaysiaGazette