PUTRAJAYA – Teresa Kok memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai isu penyambungan lesen operasi Lynas di Gebeng, Kuantan Pahang oleh kerajaan.
Timbalan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan itu berkata, lesen operasi syarikat nadir bumi Lynus dari Australia itu hanya disambung selama enam bulan dan ia bersyarat.
“Apa lagi anda (wartawan) mahu saya cakap.
“Enam bulan sahaja (lesen Lynas) itupun bersyarat. Jadi tunggulah
“Bukankah cukup untuk memberitahu anda bahawa kita (kerajaan) memberi peluang kepada Lynas untuk menambah baik operasi dan memenuhi syarat yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas persetujuan kerajaan memperbaharui lesen Lynas selama enam bulan yang mendapat tentangan daripada sebahagian pemimpin Pakatan Harapan.
Tentangan itu mengambil kira bantahan mereka terhadap operasi Lynas semasa operasi kilang nadir bumi itu dibenarkan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Malah, penentangan itu dijadikan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.
Teresa Kok yang merupakan Menteri Industri Utama antara pemimpin DAP yang pernah menandatangani petisyen menutup operasi Lynus ketika menjadi pembangkang sebelum Mei 2018 lalu.
Ahli Parlimen Seputeh itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut perkara tersebut apabila disoal wartawan berulang kali.- MalaysiaGazette