Home Nasional Tiga tahun untuk lengkapkan kertas cadangan pilihan raya PBT

Tiga tahun untuk lengkapkan kertas cadangan pilihan raya PBT

Zuraida Kamaruddin
GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memerlukan tiga tahun untuk menghasilkan satu kertas cadangan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, dalam tempoh itu pihaknya akan mengadakan bengkel dan forum awam kepada semua pihak berkepentingan selain menjalin kerjasama dengan gabungan demokrasi tempatan untuk mendidik orang awam berhubung pilihan raya kerajaan tempatan.

“Dalam masa tiga tahun ini kita membuat bengkel, forum dan sebagainya kepada semua pemegang taruh. Kemudian kita buat perancangan dan hari ini adalah langkah kedua iaitu yang mana gabungan kerajaan tempatan main peranan untuk turun padang bersua dengan komuniti, mendidik mereka apa itu kerajaan tempatan dan peranannya.

“Pada masa sama, KPKT akan membuat pindaan akta yang perlu. InsyaAllah selewat-lewatnya akhir tahun ini kita akan bentangkan kepada Kabinet untuk pinda akta-akta berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Awam ‘Pilihan Raya Kerajaan Tempatan: Siapa Untung, Siapa Rugi’ di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Jagdeep Singh Deo.

Zuraida berkata, tempoh pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan itu akan ditentukan selepas kertas cadangan itu dibentang dan mendapat kelulusan Kabinet.

“Pelaksanaan pilihan raya ini boleh dijalankan secara berperingkat, tidak semestinya semua kerajaan tempatan perlu melaksanakan pilihan raya ini dalam satu masa. Pulau Pinang sebuah negeri yang matang, mereka telah mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan ketika mereka dalam pembangkang. InsyaAllah, apabila tiba waktu pelaksanaannya P.Pinang akan menjadi nombor satu dalam senarai,” katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, Zuraida berkata beliau meminta Perdana Menteri supaya memberi peluang kepada pihaknya untuk membentangkan kertas cadangan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Tun Dr Mahathir mungkin mendengar pandangan lama yang masih lagi berlegar dalam fikiran Tun. Tetapi apa pun sebagai sebuah kerajaan yang profesional, satu pembentangan yang menyeluruh harus kita ketengahkan dan digunakan sebagai dasar untuk buat keputusan. Kita tidak boleh buat keputusan atas dasar dengar cakap (pandangan) orang lain,” katanya.

Sementara itu, Jagdeep berharap pilihan raya kerajaan tempatan itu dapat dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat memandangkan Pulau Pinang telah lama memperjuangkan pelaksanaan pilihan raya itu sehingga membawa isu itu ke peringkat mahkamah tertinggi.

“Kehadiran menteri pada forum hari ini menunjukkan komitmen beliau untuk melihat kepada usaha mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat. Isunya sekarang ialah bila (pelaksanaannya). Kita menyokong hasrat ini harap ia boleh dipercepatkan. Saya ada keyakinan yang tinggi ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette