Home Uncategorized UNI hadiah Petronas untuk rakyat Malaysia

UNI hadiah Petronas untuk rakyat Malaysia

Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah bergambar bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri),Datuk Ahmad Nizam Salleh (dua kiri) dan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (empat kanan) serta yang lain berlatar belakangkan Menara Kembar PETRONAS pada Konsert Sambutan Ulang Tahun ke-45 Petronas di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan filem web Petronas berjudul “UNI” bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di konsert sambutan Ulang Tahun ke-45 syarikat minyak negara itu di The Plaza, Menara Kembar Petronas, KLCC, malam ini.

Sambutan ulang tahun ini bertemakan #BersamaMerentasZaman dan #OurTimeTogether.

Filem web yang dipertontonkan secara langsung pada acara berkenaan, mengetengahkan elemen ‘mini Malaysia’, memaparkan kehidupan di kampus universiti yang sarat dengan kepelbagaian kaum, bahasa dan nilai-nilai murni.

Kisah ini juga merupakan satu refleksi sambutan perayaan Petronas 2019 yang bertemakan ‘Anugerah Kita’ untuk memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

MGF17082019_ULANGTAHUN PETRONAS_09 (1)
Pertunjukan bunga api pada Konsert Sambutan Ulang Tahun ke-45 Petronas di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2019

‘UNI’ menceritakan tentang dua penuntut universiti, Roger Junior Buang dari Sabah yang pemalu dan Rizwan dari Kedah yang lebih menyerlah peribadinya.

Roger sedaya upaya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, namun seringkali menjadi sasaran ‘kenakalan’ Rizwan.

Mereka berdua diarahkan untuk satu tugasan kumpulan, namun membuat keputusan untuk menyiapkan tugasan itu secara bersendirian.

Tetapi atas arahan tegas pensyarah, akhirnya mereka terpaksa menyudahkan tugasan itu bersama-sama pada waktu cuti semester dan dari situlah Roger dan Rizwan mula mengenali hati budi masing-masing dan menjadi sahabat baik.

MGF17082019_ULANGTAHUN PETRONAS_04
Penyanyi, M. Nasir ketika membuat persembahan pada Konsert Sambutan Ulang Tahun ke-45 Petronas di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2019

Turut hadir pelancaran isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengerusi Petronas, Datuk Ahmad Nizam Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Filem web ini meneroka kehidupan dinamik berwarna-warni masyarakat pelbagai budaya kita. Ada ketikanya wujud perbezaan yang menguji kita namun, perbezaan itulah sebenarnya yang membawa kita menjadi lebih dekat.

Konsert sambutan itu menampilkan 45 artis hebat Malaysia sejak empat dekad lalu, antaranya, Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, M Nasir, Ruffedge dan lain-lain.

MGF17082019_ULANGTAHUN PETRONAS_05 (1)
Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Datuk Ahmad Nizam Salleh (kanan) dan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua kiri) merasmikan filem web Petronas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-45 Petronas di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 17 OGOS 2019

Rakyat Malaysia juga dijemput untuk merasai Pengembaraan Kapsul Masa Petronas pertama melalui paparan video yang membawakan perjalanan syarikat minyak negara sejak penubuhannya pada tahun 1974.

Trak pengembaraan kapsul masa itu bakal ditempatkan di 22 lokasi di 10 negeri sehingga 14 September ini.
Pelawat berpeluang menerima pin enamel edisi terhad apabila mereka mengambil bahagian aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Open PETRONAS juga mempamerkan ‘Tree of Tales’ – satu paparan skrin digital LED di Suria KLCC, yang menceritakan kisah #OurTimeTogether dari tahun 1974 hingga ke masa akan datang, bermula dari 17-23 Ogos 2019.

Filem web Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ini boleh ditonton di saluran rasmi YouTube Petronas dan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai sambutan ulang tahun ke-45 firma minayak itu,  layari www.petronas.com/45years.- MalaysiaGazette