KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah (DUPNS) berkata, tiada sebab munasabah untuk mengusir Dr Zakir Naik dari negara ini kerana penceramah bebas itu belum disabitkan sebarang kesalahan di negara ini.
Malah semua pertuduhan terhadapnya juga belum lagi dibuktikan di luar negara.
Sebaliknya, kata ketua DUPNS, Babbar Abas, individu yang cuba membawa Sabah keluar dari Malaysia secara terang-terangan melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) wajar dihalau dari negeri itu jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mahu mengusir individu yang melanggar undang-undang negara.
Sikap prejudis dan berat sebelah PKR Sabah didorong oleh sikap rasis dan kebencian terhadap personaliti Zakir.
Sedangkan penceramah itu berhujah berdasarkan ilmu di pentas terbuka mengenai perbandingan agama dan tidak pernah memaksa masyarakat bukan Islam untuk memeluk Islam dan menghina anutan mereka.
“DUPNS juga ingin mengetahui apa pendirian orang Islam yang berada di dalam PKR Sabah? Adakah sama seperti kenyataan Kenny Chua?,” soalnya sebagai mengulas kenyataan Naib Pengerusi PKR Sabah, Kenny Chua yang mahu mengusir pendakwah bebas itu diusir dari negara ini.
Babbar mengingatkan Chua agar jangan terlalu beremosi dan cepat melatah berhubung isu tersebut.
Tegasnya, pengusiran individu hendaklah dilakukan mengikut lunas undang-undang dan bukan sekadar emosi semata-mata. – MalaysiaGazette