Thursday, November 28, 2024
Home Sukan Elena layak ke Sukan SEA

Elena layak ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR  – Atlet jalan kaki wanita negara, Elena Goh mengesahkan tiket ke Sukan SEA 2019 Filipina selepas meraih emas 10,000 meter jalan kaki wanita dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan di sini, semalam.

Elena, pemenang pingat emas bagi edisi 2017 di Kuala Lumpur menewaskan atlet Pahang, Johor dan Sarawak dengan catatan masa 53 minit 09.44 saat.

Dia yang mewakili ATM mengetepikan atlet Pahang, Koong Jia Lin yang meraih pingat perak dengan masa 56:25.50s dan atlet dari Johor, Pua Ling En yang meraih gangsa dengan masa 58:19.35s dalam saingan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Berdasarkan ranking di Asia Tenggara terkini, Elena muncul pelumba terpantas diikuti atlet Filipina, Elizabeth Capioso 1 jam 04 minit 27 saat.

Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil turut mengesahkan Elena adalah atlet terbaharu yang layak ke temasya dwitahunan terbesar di Asia Tenggara itu November hadapan.

Untuk rekod, Elena menamatkan kemarau 18 tahun kilauan emas dalam edisi 2017 dengan catatan masa 52:21.50s menewaskan pemenang pingat perak Thi Bich Ha dari Vietnam yang mencatatkan masa 52.27.78s dan pemenang pingat gangsa, T Assawawongcharoen dari Thailand yang mencatatkan masa 53.17.10s. – MalaysiaGazette