SEREMBAN – Polis akan membuat post-mortem operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, setelah siasatan kesnya selesai.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada kes Nora Anne telah ditutup selepas penemuan mayatnya.
Remaja istimewa itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan kira-kira 60 kilometer dari sini.
Mayat remaja itu ditemukan selepas 10 hari dilapor hilang, oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi SAR, berkeadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah.
Lokasi penemuan itu sekitar 2.5 km dari resort ia dilapor hilang, kawasan yang terletak dalam radius pencarian yang sebelumnya telah beberapa kali dilalui oleh kumpulan anggota (SAR). – Bernama