Home Nasional DBKL tunggu kelulusan negeri sebelum bina pusat sembelihan Selayang

DBKL tunggu kelulusan negeri sebelum bina pusat sembelihan Selayang

Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media selepas Majlis Perasmian Buku 365 Hari Mengurus Transisi Memenuhi Harapan dan Pelancaran Protal Wilayahku di Auditorium Kementerian Wilayah Persekutuan, Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 19 OGOS 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan masih menunggu kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk menambah keluasan tapak cadangan bagi Pusat Penyembelihan Ayam Halal Selayang sebelum kemudahan itu boleh dibina.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, ketika ini tapak fasiliti itu kecil disebabkan kewujudan rumah ibadat bukan Islam berdekatan dan ia perlu dipindah sebelum pembinaan boleh dimulakan.

“Kita menunggu keputusan Exco Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam Selangor berhubung dengan tapak tokong itu.

“Keluasan tapak yang telah diluluskan sebelum ini terlalu kecil jadi kita buat rayuan supaya diberikan tapak sepertimana yang dijanjikan pada asalnya

“Bila sudah dapat kelulusan, maka boleh dipindahkan tokong itu kepada tapak yang baru supaya projek Pusat Penyembelihan Ayam Halal dapat dijalankan,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aduan Rakyat TV3 melaporkan sekumpulan penduduk masih menagih jawapan berhubung pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam Halal di Selayang yang dibantah sejak lima tahun lalu.

Penduduk berdekatan masih menimbulkan beberapa persoalan termasuk isu melihatkan kesihatan, kesesakan dan kebersihan apabila fasiliti bersepadu dan canggih itu dibina berdekatan tapak Pasar Harian Selayang.

Ditanya tentang bantahan penduduk mendakwa isu kebersihan termasuk ancaman penyakit berbahaya berisiko tinggi jika ia dibina, Khalid bagaimanapun berkata, perkara itu tidak berasas dan pihaknya menepati dan mematuhi syarat.

“Semua ini sudah diluluskan oleh semua jabatan-jabatan berkaitan termasuk alam sekitar, kesihatan dan sebagainya

“Saya rasa isu-isu bantahan itu kadang-kala atas andaian sedangkan semua proses dan permohonan telah dapat disaring dan ditentukan ianya memenuhi syarat-syarat seperti mana yang diperlukan.

“Kalau mereka kata ada selsema burung itu dan ini sebenarnya tiada atas atas dakwaan itu,” katanya. – MalaysiaGazette