Home Nasional Zakir Naik ke Bukit Aman beri keterangan kali kedua

Zakir Naik ke Bukit Aman beri keterangan kali kedua

Sebuah kereta dipercayai membawa penceramah bebas, Zakir Naik hadir bagi diambil keterangan untuk kali kedua kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Dr Zakir Naik hadir ke Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman petang ini untuk diambil keterangannya kali kedua.

Maklumat mengenai ketibaan Zakir dimaklumkan menerusi aplikasi Whatsapp oleh peguamnya Akberdin Abd Kader yang memberitahu penceramah dari India itu tiba di Bukit Aman pada jam 3.15 petang.

Bagaimanapun, kehadirannya tidak disedari sekumpulan petugas media yang menunggu di hadapan pintu masuk ibu pejabat polis berkenaan sejak pukul 2 petang.

Zakir dipanggil ke Bukit Aman untuk menyambung keterangannya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Jumaat lalu, Zakir telah memberi keterangan di Bukit AmanĀ  untuk membantu siasatan mengikut kanun yang sama.

Zakir dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan pada 3 Ogos lepas dilaporkan telah membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia.

Beliau mendakwa penganut Hindu di negara ini lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga dilaporkan membuat kenyataan kritis terhadap kaum Cina Malaysia dengan berkata, mereka perlu terlebih dahulu keluar dari negara ini sebagai respons kepada desakan agar beliau diusir dari negara ini. – MalaysiaGazette