KUALA KRAI – Jika kulit ayam biasanya dibuang namun bagi satu keluarga lima beranak di Kampung Tengah, di sini, kulit ayam adalah antara lauk ‘istimewa’ bagi mereka sekeluarga saban hari.
Menurut Siti Hamidah Abdul Hamid, 32, kesempitan hidup apatah lagi dengan pendapatan suami, Muhamad Zuhaidi Safin, 33, sebagai buruh yang tidak membolehkan mereka lima beranak untuk ‘mewah’ berbelanja.
Katanya, walapun kulit ayam kurang digemari namun bagi keluarganya kulit ayam adalah lauk yang menyelerakan.
“Biasanya saya mendapatkan kulit ayam ini di sebuah kantin di sekolah berdekatan kerana beranggapan satu pembaziran sekiranya dibuang.
“Lagipun, keluarga saya memang tidak mampu untuk makan daging ayam atau ikan setiap hari. Mujurlah ada orang yang sanggup menyediakan kulit ayam untuk diberikan kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Jelasnya, walaupun ada yang beranggapan kulit ayam adalah bahagian ayam yang tidak elok namun tiada apa yang boleh dilakukan kerana tahu keadaan keluarganya.
“Untuk makan daging ayam atau ikan setiap hari kami memang tidak mampu. Jika makanpun mungkin sekali seminggu dan selebihnya akan diisi dengan apa sahaja lauk yang ada.
“Setakat ini, kesemua tiga anak perempuan saya (Siti Aisyah, 8; Norsyayidah Nafisah, 6; dan Nor Syafiya Nadira; 3 tahun) gemar memakan kulit ayam sejak dua tahun lalu,” katanya yang berasal dari Jeli.
Sementara itu Muhamad Zuhaidi berkata, dengan pendapatan tidak menentu dan perlu membayar sewa rumahnya sebanyak RM100 sebulan walaupun telah usang, agak sukar baginya menyediakan lauk yang berkhasiat kepada keluarga.
“Apa yang lebih penting perut mereka kenyang dan dapat diisi dan kami sekeluarga sihat,” katanya yang amat mengharapkan memiliki rumah sendiri. – Bernama