KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan mensasarkan potensi jualan sebanyak RM20 juta dan jualan tunai sebanyak RM500,000 semasa Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) sempena Minggu Usahawan Nasional 2019 (MUN 2019).
MUN 2019 akan diadakan pada pada 29 Ogos hingga 1 September 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, pembangunan keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negara.
“Keperluan ini bukan sekadar untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat tetapi juga strategi dan inisiatif untuk mendokong proses mengeluarkan negara daripada senarai pendapatan pertengahan,” katanya pada sidang media sempena MUN 2019 di sini, hari ini.
Tambah Redzuan, SDSI adalah antara tumpuan utama dalam MUN 2019 yang memberi fokus kepada usahawan SDSI dari seluruh negara yang merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraftangan serta kesihatan dan penjagaan diri.
Turut diadakan ialah sesi padanan perniagaan serta siri ‘pocket talk keusahawanan’ oleh usahawan cemerlang.
Mohd Redzuan berkata, MUN 2019 bertemakan ‘Usahawan Wira Ekonomi’ dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dan seramai 3,000 usahawan pelbagai sektor dalam pelbagai aktiviti keusahawanan.
Antara tarikan utama MUN 2019 adalah Persidangan Keusahawanan meliputi segmen wanita, industri halal dan industri kreatif dan digital (Yayasan KRU), Bazar Jualan Harga Patut oleh koperasi serta Bazar Selebriti yang dijayakan oleh Prima Valet, acara Larian Rakyat Run 2.0, Konsert Merdeka dan Pameran Keusahawanan yang merangkumi pelbagai sektor (pendidikan, aeroangkasa, automotif, maritim, pertanian, pembuatan, pembiayaan, F&B halal, farmaseutikal/kosmetik dan IR 4.0).
MUN 2019 juga melantik Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Faizal Ismail dan Farah Fauzana sebagai IKON MUN 2019 berdasarkan kejayaan mereka selaku usahawan dalam bidang masing-masing. – MalaysiaGazette