Home Nasional Jawi: Ada SJK di Sabah dan Sarawak tiada PIBG

Jawi: Ada SJK di Sabah dan Sarawak tiada PIBG

Mata pelajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan masih menimbulkan kontroversi.

KUALA LUMPUR- Sembilan persatuan pendidikan Cina termasuk Dong Zong berpendapat, persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berhubung pelaksanaan pelajaran tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) akan menimbulkan lebih banyak masalah kerana kebanyakan SJK terutamanya SJK Cina di Sabah dan Sarawak tidak mempunyai PIBG.

Katanya, perkara tersebut lebih sesuai diserahkan kepada Lembaga Pengurus Sekolah untuk diputuskan.

Dalam pada itu, persatuan tersebut menegaskan, pelajaran tulisan Jawi tidak dapat membantu murid-murdi di SJK meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu masing-masing.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya hanya memperkelankan tulisan Jawi kepada murid-murid untuk mengetahui kewujudan jenis tulisan tersebut.

“Pada pandangan kami, pihak kerajaan prihatin terhadap suara komuniti bukan Islam, dan mengambil langkah penyelesaian untuk mengikis kebimbangan komuniti bukan Islam merupakan satu tindakan  yang tepat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persatuan tersebut sekali lagi meminta KPM mengumumkan isi kandungan Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu supaya orang ramai mengetahui bagaimana pengenalan tulisan Jawi akan dilaksanakan di SJKC dan SJK Tamil.

“KPM juga harus terlebih dahulu berunding dan mendapat persetujuan pihak berkepentingan, terutamanya  Dong Jiao Zong dan pertubuhan pendidikan Tamil sebelum keputusan dibuat, ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan  keraguan orang ramai, serta memastikan ciri-ciri dan identiti SJK(C) dan SJK(T)  tidak terjejas,” katanya.

KPM katanya, perlu mengadakan sesi libat urus dengan pertubuhan pelbagai kaum dari semasa ke semasa supaya perbezaan pandangan yang timbul dapat diselesaikan melalui perbincangan yang rasional di samping dapat meningkatkan  keharmonian dan perpaduan antara kaum. – MalaysiaGazette