Home Nasional Perkenal gojek untuk bantu golongan belia

Perkenal gojek untuk bantu golongan belia

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Perancangan membawa masuk perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai gojek bagi memberi peluang pekerjaan kepada golongan pengguna motosikal di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, gojek mampu menjana pendapatan dan diyakini dapat membantu golongan belia menaikkan taraf hidup.

“Dalam kehidupan hari ini, golongan penunggang motosikal mahukan pekerjaan sampingan demi kualiti hidup yang lebih baik.

“Mereka juga mahukan mendapat pendapatan tambahan .

“Gojek telah dibincangkan dalam kabinet sejak tahun lalu secara tidak rasmi sebagai usaha mewujudkan lebih peluang pekerjaan kepads belia,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perundingan Belia Negara di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kaji selidik yang dimuat naik menerusi akaun Twitter miliknya semalam yang mahukan suara anak muda sama ada mereka bersetuju dengan perkhidmatan gojek untuk diperkenalkan di negara ini.

Katanya, perkara itu bagi membantu golongan anak muda yang mempunyai motosikal untuk membuat perniagaan kecil-kecilan menggunakan mod kenderaan itu.

Malah satu mesyuarat juga telah diadakan semalam bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Pengasas Gojek dari Indonesia, Nadiem Makarim.

Syed Saddiq menambah, idea gojek dianggap langkah positif buat anak muda di negara ini yang mencari pekerjaan.

“Saya telah berbincang bersama Menteri Pengangkutan dan perkara ini akan dibawa pada mesyuarat kabinet esok. Kami mengharapkan keputusan muktamad hasil dari mesyuarat itu nanti,” katanya.

Gojek adalah syarikat rangkaian pengangkutan dan permulaan logistik yang berpusat di Jakarta, Indonesia.

Perkhidmatannya boleh digunakan menggunakan aplikasi yang dibangunkan. – MalaysiaGazette