Home Nasional Polis nafi dakwaan keluarga terlibat kes kehilangan Nora Anne

Polis nafi dakwaan keluarga terlibat kes kehilangan Nora Anne

Nora Anne Quoirin

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menafikan dakwaan yang menyatakan keluarga Nora Anne Quoirin terlibat dalam kes kehilangan dan kematian remaja berkenaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, ini satu fitnah memandangkan tuduhan itu dibuat dari luar negara oleh seorang peguam yang dikenali sebagai Anne Brennan.

“Oleh kerana itu, kami rasa itu sebagai fitnah sebab kita tidak tuduh sesiapa. Kita tidak pernah mengeluarkan kenyataan kononnya ibu bapa Nora Anne terlibat.

“Dakwaan itu tidak betul. Semalam, pukul 6 petang, pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, telah buat laporan ke atas hantaran Facebook ini kerana memfitnah pasukan polis yang sedang menjalankan siasatan.

“(Jadi) Ya, kami nafikan dan kenyataannya berniat jahat kerana kami masih jalankan siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya menyiasat fitnah yang dibuat berdasarkan kenyataan menerusi laman Facebook itu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Anne Brennan, yang juga seorang aktivis kanak-kanak, menerusi akaun Facebook membuat pelbagai dakwaan, yang antara lain menuduh keluarga Quoirin sendiri terlibat dalam kes kehilangan dan kematian Nora Anne, remaja anak istimewa berusia 15 tahun.

Selasa lalu, mayat Nora Anne ditemukan kira-kira 1.57 petang oleh sekumpulan pendaki yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 2.5 kilometer dari penginapannya, sebuah resort di Pantai, Negeri Sembilan, lokasi dia dilaporkan hilang mulai 4 Ogos.

Laporan bedah siasat mengesahkan gadis itu meninggal dunia akibat kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres berpanjangan selain tiada tanda-tanda perbuatan jenayah.

Nora Anne bersama ibu, Meabh Jaseprine Quoirin dan bapanya Sebastien Marie Philipe serta dua orang adiknya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort penginapan itu pada 3 Ogos. – Bernama