PETALING JAYA – PKR masih belum mengenakan sebarang tindakan tatatertib terhadap timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang acapkali tidak hadir mesyuarat parti.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata, tiada surat peringatan dikemukakan kepada Mohamed Azmin setakat ini atas sebab yang sama.
Malah katanya, Lembaga Displin PKR tidak mempunyai kuasa untuk memberikan sebarang tindakan terhadap orang nombor dua partinya.
Jelas beliau, gagal menghadirkan diri dalam mesyuarat parti adalah dalam bidang kuasa Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution untuk memutuskannya.
“Dia (Mohamed Azmin) tak buat apa-apa yang perlu kita keluarkan surat minta penjelasan,” katanya menjelaskan kepada wartawan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad turut berkata, Lembaga Disiplin PKR juga tidak mengambil tindakan disiplin terhadap Pengerusi PKR Selangor, Amiruddin Shaari dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Tambah Ahmad, pihaknya setakat ini berpuas hati dengan penjelasan Amirudin dan Farhash yang telah memberi penjelasan dan memohon maaf.
“Amirudin dan Farhash sudah bagi respon dan jawab surat peringatan yang saya berikan.
“Hari ini saya bentangkan pada biro politik dan intipati jawapan yang mereka berikan secara umumnya Biro Politik PKR menerima penjelasan daripada mereka,” katanya lagi.
Pada 25 Julai lalu, Lembaga Disiplin PKR telah diminta Farhash Wafa Salvador dan Amirudin Shari memberi penjelasan berkenaan kenyataan-kenyataan mereka baru-baru ini, berkait isu video seks sejenis yang tular pada Jun lalu.
Farhash diminta surat tunjuk sebab kerana kenyataan “Azmin semburit” yang dilaungkan selepas dibebaskan daripada reman lapan hari dalam siasatan berkaitan video seks sejenis.
Manakala Amiruddin diminta membuat surat tunjuk sebab atas kenyataan yang dibuatnya pada majlis solat hajat di kediaman rasminya pada 21 Julai lalu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: