LONDON – Derita penyandang juara La Liga, Barcelona terus bertambah apabila Ousmane Dembele disahkan mengalami kecederaan hamstring.
Mirror.co.uk melaporkan pemain sayap antarabangsa Perancis itu perlu diketepikan sekurang-kurangnya lima minggu.
Situasi terkini itu pasti meresahkan Barcelona yang baru sahaja melepaskan Phillipe Coutinho ke Bayern Munich.
Dembele bermain sepanjang 90 minit masa permainan ketika Barcelona memulakan misi mempertahankan kejuaraan namun dikejutkan dengan kekalahan 1-0 dengan Athletics Bilbao di San Memes pada Jumaat lalu.
Pemain berusia 22 tahun itu sudah beberapa kali dihantui kecederaan sejak tiba di Camp Nou dari Borussia Dortmund pada tahun 2017.
Dengan tanda harga setinggi €105 juta, separuh musim pertama pemain sayap itu ketika membuat kemunculan di Catalonia dihabiskan di bangku simpanan berikutan masalah kecederaan hamstring.
Ini adalah kali keempat beliau direhatkan disebabkan masalah kecederaan yang sama.
Barcelona beraksi menentang Athletic tanpa bintang utama mereka, Lionel Messi yang masih belum pulih daripada kecederaan betis, sementara pemain baru, Antoine Griezmann gagal memenuhi jangkaan dalam debutnya bersama Blaugarana.
Skuad kendalian Ernesto Valverde itu akan melayani kunjungan Real Betis pagi perlawanan liga seterusnya pada Ahad ini. – MalaysiaGazette
“Pemeriksaan perubatan terhadap Ousmane Dembele mendapati terdapat kecederaan otot pada peha kiri beliau. Hasil keputusan, pemain Perancis itu akan direhatkan sekurang-kurangnya lima minggu.”