Home Utama Puluhan ribu ‘mat motor’ dapat kerja bawa gojek

Puluhan ribu ‘mat motor’ dapat kerja bawa gojek

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Golongan ‘mat motor’ di negara ini berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan apabila kerajaan meluluskan modal ekonomi perkhidmatan sewa motosikal e-hailing atau gojek di negara ini kelak.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan yang diterima sebulat suara oleh kabinet hari ini mampu membuka puluhan ribu peluang pekerjaan serta menjadi medium untuk peniaga menjual produk mereka.

Katanya, para usahawan muda juga dapat dibantu menerusi servis yang disediakan menerusi perkhidmatan gojek.

“Kita ikhlas ingin memastikan golongan mat motor dapat peluang pekerjaan puluhan ribu.

“Pada masa sama kita ingin memastikan pakcik dan makcik yang mengendalikan warung yang sedia ada untuk menjual barang mereka melalui servis gojek.

“Kita ingin membantu usahawan muda dengan wujudnya gojek ini mereka dapat menjual barang,” katanya dalam satu rakaman ringkas yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, kerajaan ingin membantu rakyat secara keseluruhannya menerusi kaedah berkenaan untuk ke stesen pengangkutan awam seperti LRT atau MRT
dengan tambang yang murah.

Malah katanya, perkhidmatan gojek juga dapat mengelakkan mereka daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang teruk.

“Insyaallah, kita akan terus berusaha keras untuk memastikan anak muda akan dapat pembelaan yang terbaik.

“Ini adalah masa depan Malaysia kita semua,” ujarnya. – MalaysiaGazette