Home Nasional Raja Permaisuri Agong melawat UIAM

Raja Permaisuri Agong melawat UIAM

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat pameran ketika membuat kunjungan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 OGOS 2019

GOMBAK – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini mencemar duli melawat Kulliyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ini merupakan Kunjungan DiRaja pertama selepas dilantik sebagai Ketua Perlembagaan (Canselor)  UIAM pada Jun lalu.

Turut bersama-sama baginda yang tiba pada pukul 11.15 pagi tadi ialah dua puteri iaitu Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Baginda memulakan kunjungan dengan melawat pameran yang dianjurkan oleh pelajar tahun akhir KAED dan hasil kajian di Kedah dan Pulau Pinang oleh pelajar jurusan Senibina Warisan.

Tunku Azizah diberi penerangan oleh Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Baginda kemudian berkenan melawat Pusat Asuhan dan Jagaan Kanak-kanak IIUM Educare dengan menaiki bas khas.

IIUM Educare merupakan pusat jagaan dan asuhan kanak-kanak yang disediakan untuk kakitangan universiti tersebut.

Mengakhiri lawatan rasminya, Baginda bersantap bersama-sama pengurusan tertinggi dan kakitangan UIAM sebelum berangkat pulang selepas meluangkan masa lebih tiga jam di universiti itu. -MalaysiaGazette