Home Nasional Saksi akui tidak siasat perbualan Whatsapp

Saksi akui tidak siasat perbualan Whatsapp

Antara dokumen dan bahan bukti yang dibawa pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Saksi terakhir perbicaraan SRC International, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussain enggan memberikan reaksi atau ulasan lanjut ketika diasak tentang perbualan BlackBerry Messengger (BBM) dan email.

Rosli yang juga Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM juga tidak bersetuju apabila peguam bela, Harvinderjit Singh mengatakan beliau tidak menyiasat perbualan-perbualan itu secara menyeluruh.

Perbualan-perbualan itu dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jo atau Jho Low; pegawai Ambank, Joanna Yu; dan bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil yang kini sudah menghilangkan diri.

Soalan Harvinderjit juga berkaitan dengan transaksi akaun Ambank milik Najib yang berakhir dengan nombor 880, 906 dan 898 juga dipercayai dikendalikan tanpa pengetahuan bekas Perdana Menteri itu.

Namun Rosli tetap bertegas bahawa Jho Low tidak berperanan dalam melakukan transaksi selain tidak mempunyai sebarang manfaat dengan dana SRC International.

Bagaimanapun sebelum ini, Joanna Yu, saksi ke-54 perbicaraan juga merupakan bekas pengurus perhubungan AmBank pernah mengakui Jho Low bukan sahaja kebal, memiliki kuasa melakukan transaksi dengan memberikan arahan tanpa Najib.

MGF31072019_MAHKAMAH DS NAJIB39 (1)
Saksi ,bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu

Joanna Yu juga pernah membuat pendedahan bagaimana Jho Low pernah berbohong tentang beberapa perkara termasuk draf bank dan meminta penyata akaun tidak dihantar ke alamat Najib sebaliknya kepada pemegang mandat, Nik Faisal.

Banyak perkara berjaya didedahkan melalui perbualan telefon blackberry milik Joanna dengan Jho Low ketika rampasan gajet tersebut oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015.

Ketika di soal Harvinderjit tentang perbualan aplikasi Whatsapp antara Joanna Yu dengan pegawai Ambank seperti Daniel Lee dan Krystal Yap juga dikaitkan dengan Jho Low serta arahan transaksi olehnya, Rosli akui tidak menyiasat tentang perbualan-perbualan itu.

Ketika di soal tentang peranan bekas Pengarah 1MDB, Terence Geh juga dipercayai terlibat dalam pengeluaran wang SRC International, kata Rosli dirinya tidak pasti.

Rosli juga tidak bersetuju apabila peguam bela mendakwa Jho Low melalui bantuan Geh telah membuat pengeluaran jutaan ringgit dari akaun SRC.

Namun ketika ditanya mengapa tidak menyiasat tentang Geh, kata Rosli pada masa itu dia sudah melarikan diri ke luar negara.

Rosli juga tidak bersetuju seseorang dalam bank telah memalsukan tandatangan Najib bagi tujuan transaksi.

Saksi berkata demikian ketika sesi soal balas perbicaraan yang sudah masuk hari ke-56 di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini. -MalaysiaGazette

Apa lagi pendedahan Joanna Yu hari ini?

Jho Low manipulasi akaun peribadi Najib?