Home Seni Hidup Tunku Azizah minat sejarah Islam, seni bina

Tunku Azizah minat sejarah Islam, seni bina

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (tengah) berkenan membuat kunjungan ke Kulliyyah Architecture Enviromental Design (KAED) di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 22 OGOS 2019

GOMBAK – Minat terhadap seni bina,  sejarah Islam dan undang-undang agama menjadi sebab Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memilih untuk menjadi Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sewaktu diberi pilihan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Baginda tidak berfikir panjang untuk memilih universiti ini.

“Saya kata saya akan terima UIA sebab sebuah universiti Islam yang berprestij dan saya selalu berminat dalam pengajian Islam  dan saya harap akan dapat ‘kacau’  Fakulti Seni Bina dan dari segi sejarah Islam dan undang-undang Islam

“Saya harap  kehadiran saya di universiti ini dapatlah saya belajar banyak perkara daripada anda semua untuk jadi Permaisuri yang lebih baik untuk Malaysia,” titah baginda.

Kunjungan Baginda hari ini merupakan yang pertama kali setelah dilantik menjadi Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM pada Jun lalu.

Selain itu Tunku Azizah turut menyuarakan hasrat agar ada antara puterinya akan memilih untuk menyambung pengajian di universiti itu.

“Kunjungan ini sepatutnya bukan lawatan rasmi, saya hanya ingin melawat dan tengok UIAM, saya bawa dua anak perempuan saya dengan harapan mereka mungkin memilih UIA,” titah baginda berseloroh.

Selain membawa dua puterinya Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah ke UIAM hari ini, turut Paduka Puteri Tunku Masera Sultan Iskandar yang merupakan bekas penuntut universiti tersebut.

Tunku Azizah turut berharap kakitangan pengurusan UIAM akan membantu memberi panduan kepada Baginda sebagai Ketua Perlembagaan yang baharu.

“Panduan dari kamu semua yang saya perlukan untuk menjadi ketua yang terbaik. Kita di sini adalah keluarga yang besar. Jadi saya harap kamu semua dapat ajar saya,” titah Baginda.

Terdahulu, Tunku Azizah bertitah agar semua kakitangan pengurusan membacakan al-Fatihah kepada Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah  Al-Musta’in Billah yang merupakan bekas Ketua Perlembagaan universiti itu selama 35 tahun sebelum mangkat pada 22 Mei yang lalu. – MalaysiaGazette