Home Ekonomi KLIA: Etiqa beri pengecualian kepada penumpang terjejas

KLIA: Etiqa beri pengecualian kepada penumpang terjejas

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Syarikat insurans dan takaful, Etiqa tetap akan membayar tuntutan perlindungan yang telah membeli pelindungan perjalanan daripada syarikat tersebut walaupun penerbangan mereka lewat disebabkan oleh kegagalan sistem khususnya bagi penumpang yang terjejas akibat masalah teknikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kamaludin Ahmad, Etiqa menerima tuntutan untuk kelewatan penerbangan yang disebabkan oleh situasi seperti mogok, cuaca buruk dan kerosakan mekanikal penerbangan namun, kelewatan yang disebabkan oleh gangguan sistem di lapangan terbang adalah bukan sebahagian dari perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan kepada pelanggan mereka.

Namun begitu, syarikat tersebut cuba untuk membantu meringankan beban para pelanggan yang telah membeli telah membeli perlindungan insurans atau takaful perjalanan daripada syarikat berkenaan dengan memberikan pengecualian buat penumpang yang terjejas di KLIA sama ada di Terminal Utama mahupun klia2.

“Kebanyakan rakyat Malaysia telah menabung berbulan lamanya untuk pergi bercuti dan semestinya mereka menantikan saat ini untuk bercuti dan mencipta memori indah bersama keluarga dan sahabat. Mereka pasti tidak menduga untuk mengalami pengalaman buruk seperti ini di awal percutian disebabkan oleh kelewatan penerbangan.

“Penumpang dalam kelas perniagaan juga terkesan dengan situasi ini yang menyebabkan aktiviti mereka tertunda atau terbatal.

“Kami sedia maklum bahawa kami tidak dapat menyelesaikan masalah kelewatan yang berlaku ini tapi kami semestinya akan cuba membantu untuk meringankan beban.

“Oleh itu, kumpulan pelanggan kami yang terjejas dengan gangguan sistem di KLIA/KLIA 2 sejak semalam akan diberi pengecualian dan akan dibayar tuntutan walaupun ianya tidak termasuk dalam perlindungan yang ditawarkan pada asalnya,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk pelanggan yang terlibat, sila Whatapp kami di talian 019-650-7931 (bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat) dan sila kemukakan no KP, jadual penerbangan, pas masuk & nombor akaun bank bagi proses bayaran tuntutan kepada anda.

Bagi pertanyaan di luar waktu perniagaan, anda boleh menghubungi kami di [email protected].  -MalaysiaGazette