Home Sukan Kompany bukan lagi pengurus

Kompany bukan lagi pengurus

Vincent Kompany

LONDON – Vincent Kompany akan melepaskan peranan sebagai pengurus pasukan Anderlecht pada hari ini untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di atas padang, lapor Sky Sports.

Kompany sebelum ini dilantik sebagai pemain-pengurus di kelab Belgium itu selepas meninggalkan Manchester City setelah tamat kempen musim lalu.

Namun Anderlecht hanya berjaya mengumpul dua mata dari empat perlawanan setakat ini dan ia merupakan pencapaian terburuk kelab tersebut sepanjang tempoh 21 tahun.

Kompany akan kekal sebagai kapten pasukan manakala Ketua Jurulatih, Simon Davied akan mengendalikan perkara berkaitan taktikal dan pertukaran pemain pada hari perlawanan.

Perubahan ini akan bermula pada perlawanan seterusnya menentang juara bertahan liga, Genk.

Anderlecht telah melalui dua kekalahan dan dua keputusan seri tanpa jaringan sekaligus menempatkan kelab tersebut di kedudukan ke-13 dari 16 pasukan bertanding di Division A Belgium.

Anderlecht kini sudah pun ketinggalan lapan mata dari Club Bruges yang mendahului liga.

Sabtu lalu, pasukan kendalian Kompany berjaya mendahului 1-0 pada babak pertama sebelum dibolosi empat gol pada babak kedua untuk tewas 4-2 di Kortrijk.

Bekas kapten Manchester City itu menjuarai 10 trofi di Etihad, dan kini akan mengambil alih peranan kapten di Anderlecht dari bekas rakan sepasukan di England, Samir Nasri. – MalaysiaGazette